Ogos 27, 2008

Susu Ibu Pelindung


Susu manusia untuk anak manusia. Ini yang sering diperkatakan pakar penyusuan bayi. Susu ibu mengandungi jumlah asid lemak, laktosa, air dan asid amino untuk penghadaman, perkembangan otak dan pertumbuhan pada kuantiti tepat.

Susu lembu sebaliknya mengandungi jenis protein yang berbeza daripada susu ibu. Susu ini baik untuk anak lembu dan jika diberi pada bayi, bayi mungkin mengalami masalah menghadamnya.

Bayi yang diberi susu badan kurang jatuh sakit kerana menerima antibodi ibu melalui susu. Hampir 80 peratus susu ibu adalah sel makrofaj iaitu sel yang membunuh bakteria, virus dan fungus.

Ini sebabnya bayi yang diberi susu badan terlindung pelbagai peringkat penyakit, termasuk pneumonia, botulism, bronkitis (keradangan salur udara ke paru-paru), influenza, jangkitan bakteria Staphylococus, jangkitan telinga dan demam campak.Pada masa sama, badan ibu terus menghasilkan antibodi terhadap apa juga penyakit di sekeliling mereka dan antibodi ini kemudian dipindahkan kepada bayi.Sistem pencernaan bayi yang diberi susu badan mengandungi banyak Lactobacilus bifidus iaitu bakteria baik yang menghalang pembiakan mikro organisma berbahaya.

Selain itu, susu badan yang diberi terus adalah steril, jadi ia dapat mengelak cirit-birit pada bayi. Lebih istimewa, susu badan mengandungi lebih 100 bahan unik yang tiada pada susu formula. Tiada bayi alah pada susu ibu, walaupun mungkin mengalami reaksi pada makanan tertentu yang diambil si ibu.

Bagaimanapun, jika pengambilan makanan itu dihentikan, reaksi dialami bayi hilang dengan sendiri.Proses penyusuan mempunyai kesan psikologi kerana ia membentuk ikatan antara ibu dan bayi. Ketika lahir, jarak penglihatan bayi hanya 30 hingga 38 sentimeter iaitu jarak antara bayi yang disusukan dengan muka ibunya. Kajian menunjukkan bayi semuda satu minggu lebih suka bau susu ibu.

Ramai pakar psikologi percaya bayi yang disusukan berasa selamat, terutama apabila ada sentuhan kulit ketika proses penyusuan. Ibu bapa yang memberi susu botol kurang memberi sentuhan pada anak ketika disusukan. Sebaliknya, jika diberi susu badan, bayi ada dalam dakapan ibu yang menjadikannya bukan sekadar waktu makan tetapi memberi rasa selesa dan selamat.

Manfaat untuk ibu


  • Mudah dan susu boleh diberi pada bila-bila masa. Tidak perlu bangun malam untuk membancuh susu

  • Dapat mengurangkan berat badan secara semula jadi

  • Penyusuan badan merangsang rahim mengecut ke saiz asal

  • Ibu yang menyusukan anak perlu banyak berehat dengan duduk dan letakkan kaki ke atas. Jika ibu memberi susu sambil baring, dia boleh melelapkan mata seketika tanpa memberi masalah pada bayi.

  • Ini antara cara semula jadi untuk menjarakkan kehamilan, walaupun ada juga yang hamil ketika ini. Penyusuan yang kerap merencatkan proses penghasilan telur, menjadikan mereka tidak didatangi haid dan dapat mengelak kehamilan.Jika tidak mahu anak yang rapat, wanita perlu menggunakan kaedah pencegahan kehamilan dalam tempoh ini. Suntikan hormon, implan atau alat dalam rahim adalah selamat dan tidak memberi kesan pada bayi. Bagaimanapun, tidak digalakkan mengambil pil perancang sehingga bayi pisah susu

  • Menjimatkan belanja. Walaupun ibu mempunyai selera besar, harga makanan ibu biasanya tidak semahal susu formula. Tanpa belanja, bayi anda menerima khasiat terbaik.

Sumber :http://www.hmetro.com.my/Sunday/Sihat/20080309015523

Tiada ulasan:

Catat Ulasan