November 04, 2008

Anak Enggan Minum Susu

Lilypie 1st Birthday Ticker

PEMAKANAN yang betul serta berkhasiat bagi kanak-kanak adalah faktor yang penting bagi memastikan pembesaran otak dan badan berlaku dengan sempurna.Kekurangan makanan atau pengambilan makanan yang berlebihan kerap berlaku kepada bayi dan kanak-kanak. Amat penting bagi ibu bapa memastikan agar anak mereka mendapat khasiat mencukupi bagi pembesaran daripada makanan yang disediakan.

Pada umur enam bulan pertama, bayi hanya memerlukan nutrisi daripada susu badan atau susu formula yang diberikan kepada mereka. Susu badan atau susu formula mengandungi zat makanan yang diperlukan bagi pembesaran.Bagaimanapun, selepas berumur enam bulan, makanan pejal dan jus buah-buahan perlu diperkenalkan kepada bayi di samping susu.

Dengan menambah makanan pejal ini kepada bayi secara perlahan-lahan, ia akan dapat menggantikan sebahagian daripada zat makanan, tenaga dan kalori yang dibekalkan oleh susu.Ini kerana walaupun kadar pembesaran kanak-kanak ketika ini menurun, keperluan tenaga adalah tinggi bagi aktiviti mereka.Bagaimanapun, kandungan lemak dan kalori yang tinggi di dalam susu juga masih diperlukan bagi pembesaran di samping makanan pejal.

Makanan pejal tambahan akan membekalkan zat tambahan seperti zat besi yang diperlukan untuk pembesaran.Ibu bapa boleh menyediakan makanan pejal yang dipelbagaikan mengikut cita rasa anak-anak serta dapat membekalkan khasiat dan tenaga yang diperlukan.

Di samping itu, terdapat pelbagai jenama susu susulan di pasaran yang mempunyai rasa selain daripada susu sebenar yang boleh diberikan kepada kanak-kanak yang tidak menggemari susu biasa. Contohnya, susu berperisa coklat dan vanila.Sekiranya anak puan tidak suka kepada warna putih susu, puan boleh menggunakan botol susu yang berwarna dan bercorak bagi mengelirukan anak puan untuk mengambil perhatiannya.

Sebagai panduan dalam memastikan jumlah kalori yang diperlukan mencukupi bagi pembesaran anak , gunakan pengiraan yang mudah ini:Sekiranya anak mempunyai berat badan 10 kilogram (kg) ke bawah, ia memerlukan sebanyak 100kcal/kg sehari. Setiap kilogram pertambahan berat badan daripada 10 kg, tambahan kalori sebanyak 50kcal/kg sehingga berat badan mencecah 20 kg. Sekiranya berat badan melebihi 20 kg, pertambahan kalori bagi setiap kilogram berat selepas 20 kg ialah 20kcal/kg.

Oleh Dr Norrashidah Abd Wahab

Tiada ulasan:

Catat Ulasan