Januari 29, 2009
Demam Campak (Morbili, Rubeola atau Measles)
Oleh: SHAFINAZ SHEIKH MAZNAN
DEMAM campak - istilah yang lebih sinonim membunuh kanak-kanak ini bukanlah sesuatu yang asing bagi kebanyakan orang. Hampir kesemua orang dewasa pernah mendengar tentang demam virus beruam paling biasa ini, yang turut dikenali sebagai morbili, rubeola atau measles.
Malah, sekitar tahun 1960-an, iaitu ketika vaksin campak masih belum ditemui, ia menjadi ancaman utama kepada ibu bapa kerana komplikasinya yang boleh mengakibatkan kematian. Sejak itu juga, berlaku penurunan kes-kes campak yang dilaporkan di negara ini berikutan kempen imunisasi campak yang dilaksanakan oleh kerajaan.
Namun begitu, jumlah kematian akibat campak masih tinggi di dunia iaitu sejuta kematian setiap tahun terutamanya di negara-negara sedang membangun. Terbaru, belum pun reda kes-kes denggi luar biasa yang dicatatkan sempena tahun baru ini, negara dikejutkan pula dengan berita kematian 14 orang Penan di Sungai Urun, Belaga, Sarawak. Rata-ratanya mengalami pneumonia (radang paru-paru), antara komplikasi utama campak, yang dipercayai disebarkan oleh seorang lelaki kaum itu yang berkahwin dengan wanita Iban.
Pensyarah Pediatrik Klinikal, Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr. Azam Mohd. Nor berkata, campak merupakan sejenis penyakit berjangkit yang ditularkan oleh virus campak morbillivirus, dari keluarga paramyxoviridae. `Penyakit campak boleh merebak dengan begitu senang sekali iaitu melalui titisan air liur pesakit, baik semasa batuk, bersin ataupun hanya bercakap.
`Walaupun tidaklah seketara kes-kes penyakit rubella (campak Jerman), virus campak juga boleh dipindahkan terus daripada ibu yang mengandung kepada janinnya, menyebabkan kelahiran pramatang,” katanya.
Menurutnya, campak mempunyai peluang jangkitan yang sangat tinggi sehingga mencapai lebih 90 peratus sekiranya seseorang belum pernah mendapat imunisasi campak mahupun terkena penyakit itu sendiri. Ditanya sama ada orang dewasa boleh mendapat campak, Dr. Azam menjelaskan, kemungkinannya ada tetapi sangat jarang khususnya mereka yang berusia 30 tahun ke atas.
Dalam kes campak orang Penan yang turut meragut nyawa orang dewasa itu, ia berlaku kerana mereka belum pernah terdedah kepada penyakit sedemikian, menyebabkan badan tidak mempunyai daya tahan melawan campak.
Gejala-gejala yang boleh timbul dari penyakit ini terbahagi kepada empat tahap iaitu:
*Tahap pengeraman sekitar 10 hingga 14 hari selepas dijangkiti di mana pesakit tidak mengalami sebarang gejala
* Tahap prodromal berlangsung selama lebih kurang lima hari. Pada saat ini, kanak-kanak mula menunjukkan gejala seperti demam selesema, hidung berair, batuk ringan, mata merah berair (konjunktivitis), photofobia (mata mudah silau kepada cahaya) dan kesukaran menelan. Tompokan kecil berwarna putih di dalam mulut (koplik’s spot) berupa garam yang ditaburkan di atas permaidani merah, lazimnya dikesan selepas dua hingga tiga hari pesakit mendapat batuk selesema. Koplik’s spot dinamakan sempena seorang pakar pediatrik di Amerika Syarikat, Henry Koplik yang pertama kali mengesan tompokan ini.
* Apabila tahap pembentukan ruam yang berasa sedikit miang bermula, demam menjadi bertambah tinggi sehingga mencapai lebih 40o C. Batuk pula semakin parah.
Sebahagian ruam muncul dalam bentuk perubahan warna (makula) manakala sebahagian lagi timbul pada permukaan kulit (papula).Tabiat ruam campak bermula dari belakang telinga, leher, muka, dada, merebak ke seluruh badan, tangan, punggung, perut dan lengan sebelum menjalar ke bahagian kaki. Keseluruhan proses ini mengambil masa antara dua hingga tiga hari, kemudiannya beransur-ansur hilang manakala suhu badan mulai menurun, demam kebah dan koplik’s spot turut lenyap. Sebab itulah, kita biasa mendengar orang tua-tua selalu berkata, sekiranya ruam sampai ke kaki, tandanya campak semakin sembuh.
* Tahap penyembuhan; ruam hilang, lapisan kulit mengelupas manakala konjunktivitis juga semakin pulih. Gejala batuk bagaimanapun mengambil masa sedikit untuk pulih.
Gejala campak, kata Dr. Azam, sekalipun nampak ringan tetapi ia boleh menyebabkan komplikasi jangkitan yang sangat berbahaya dan boleh membawa maut. Masalahnya, virus campak boleh ditularkan daripada seseorang kepada yang lain semasa pesakit masih berada pada tahap pengeraman yang tidak menunjukkan sebarang tanda.
“Komplikasi yang paling biasa mengiringi campak ialah pneumonia, keratitis (inflamasi selaput mata) yang jika tidak dirawat boleh menjejaskan daya penglihatan, otitis media (jangkitan telinga) menyebabkan pekak dan ensefalitis (radang otak) menyebabkan sawan.
“Kekurangan zat makanan yang berkait rapat dengan daya tahan badan yang lemah serta masalah immunoefficiency disebabkan oleh rawatan kanser atau HIV, boleh memburukkan lagi komplikasi campak,” katanya.
Sejenis komplikasi lain yang boleh mengundang maut sekalipun jarang berlaku iaitu subacute sclerosing pan-encephalitis, boleh menyebabkan perubahan personaliti, serangan mengejut, kerosakan otak kekal dan pesakit koma selepas beberapa tahun dijangkiti. Memandangkan sehingga ke hari ini, tiada rawatan untuk penyakit-penyakit bawaan virus termasuklah campak, imunisasi sangat penting sebagai pencegahan, kata Dr. Azam.
Rawatan biasa yang diberikan ialah banyakkan minum air bagi mengelakkan dehidrasi akibat panas badan, pemberian paracetamol bagi melegakan demam, antibiotik sekiranya terdapat kuman di dalam paru-paru dan vitamin A bagi mengurangkan komplikasi.
“Campak tergolong dalam kategori penyakit yang dapat dicegah dan pencegahan paling berkesan adalah melalui suntikan vaksin.
“Vaksin campak terdiri daripada virus campak hidup yang dilemahkan dan dikulturkan di dalam embrio anak ayam untuk merangsang tubuh menghasilkan antibodi sendiri,” katanya.
Vaksinasi campak didatangkan dalam bentuk gabungan dengan vaksin beguk (mumps) dan rubella yang secara ringkasnya dinamakan sebagai MMR.
Sebanyak dua dos imunisasi MMR diberikan iaitu dos pertama ketika kanak-kanak berusia setahun manakala dos tambahan semasa mereka berada di tahun satu persekolahan rendah.
“Usia 12 bulan dipilih kerana jika diberikan terlalu awal, vaksin mungkin tidak dapat bertindak balas dengan berkesan kerana bayi masih membawa kekebalan si ibu semasa hamil.
“Kerana itu, penyusuan ibu sangat digalakkan bagi memanjangkan lagi tahap dan tempoh daya tahan kanak-kanak,” katanya.
Ibu bapa yang tidak menyuntik MMR semasa bayi berusia 12 bulan hanya mendedahkan kanak-kanak itu kepada ancaman campak yang lebih besar pada masa akan datang,
Suntikan imunisasi MMR diberikan sama ada pada bahagian paha atau lengan. Ia akan meninggalkan kesan sampingan yang ringan seperti sakit dan bengkak pada bahagian yang dicucuk, mengantuk, demam, ruam dan bengkak kelenjar air liur di leher.
Menjawab soalan sama ada individu yang mendapat suntikan MMR masih boleh dijangkiti, beliau menjelaskan, dianggarkan dua hingga empat peratus vaksin tidak berkesan.
“Ada banyak sebab kenapa ia berlaku seperti cara penyimpanannya yang tidak sesuai, pemberian vaksin yang terlalu awal kepada bayi berusia kurang 9 bulan di mana vaksin tidak bertindak secara baik dan kekebalan tidak sempurna.
“Kalau terdapat kes campak yang banyak di satu-satu tempat, umur 12 bulan dah dapat campak, kita boleh berikan suntikan lebih awal, sembilan bulan misalnya,” kata beliau.
Mengenai salah tanggapan segelintir masyarakat yang mengaitkan vaksin campak sebagai punca penyakit lain seperti autisme, berikut adalah mesej Dr. Azam:
“Penyelidikan terperinci telah menyangkal autisme sebagai kesan sampingan vaksinasi. Kesahihannya boleh dipertikaikan.
“Kita cenderung percaya benda kecil yang diperbesarkan hinggakan kita lupa kebaikannya yang jauh lebih besar,” katanya sambil menambah, kes campak di Penan adalah terpencil, sedangkan di Kuala Lumpur masih ada orang yang tidak mengambil suntikan MMR.
Antara keraguan yang biasa dibangkitkan ialah mengenai alahan pesakit kepada telur memandangkan pembuatan vaksin campak yang dihasilkan di dalam embrio anak ayam.
Cara penghasilan tersebut sebenarnya bertujuan menyukarkan pembiakan virus di dalam tubuh manusia.
Jika wujud keraguan, tambahnya, pihak hospital akan melakukan suntikan di bawah penyeliaan doktor. Vaksinasi MMR boleh diperoleh secara percuma di semua hospital dan klinik kesihatan kerajaan, di seluruh negara.
Januari 25, 2009
Demam Si Kecil
Demam selalunya berlaku kerana adanya jangkitan kuman bakteria ataupun virus. Antara tanda-tamda demam ialah suhu badan yang melebihi 37 darjah celcius, bayi berpeluh lebih daripada biasa dan kelihatan tidak berapa selesa.
Sebab-sebab berlakunya demam (fever)
* Jangkitan kuman bakteria atau virus.
* Jangkitan pada bahagian telinga. Dalam keadaan ini bayi selalu memegang atau mencucuk-cucuk telinganya dengan jari. Bayi juga kerap terjaga malam dan menangis tanpa dapat dikawal. Keadaan ini selalu berlaku selepas bayi terkena selsema. Ubat decongestant mungkin diberikan bersama-sama antibiotik dalam keadaan ini.
* Jangkitan pada bahagian dada. Bayi didapati bernafas lebih laju daripada biasa. Ia juga berlaku terutamanya selepas bayi terkena selsema.
* Measles. Di samping demam, bayi juga mengalami rashes - tompok-tompok merah pada badannya. Bayi juga mungkin mengalami masalah batuk.
* Meningitis. Ia berlaku bila ada jangkitan pada bahagian otak. Bayi anda akan merasa pening. Dalam keadaan ini, kemasukan ke dalam hospital mungkin perlu dibuat segera.
* Gastroentritis. Antara tanda-tandanya ialah bayi mengalami cirit-birit dan / atau muntah. Ini boleh menyebabkan dehidrasi (pengeluaran cecair badan) yang memerlukan pengambilan oral rehydration salt atau kemasukan air secara injection.
* Jangkitan pada mulut atau tekak. Bayi mungkin menghadapi kesukaran untuk makan dan selalu menolak sekiranya anda ingin memberinya makan.
* Terlebih panas (overheating) yang berlaku kerana pakaian yang dipasangkan terlebih tebal dsb.
Ubat-ubatan
Ubat-ubatan yang diberikan bergantung kepada keadaan. Antara ubat yang selalu diberikan dalam masalah ini ialah:
* antibiotik untuk membunuh kuman. Perlu diingat, penggunaan berlebihan atau secara tidak teratur akan menyebabkan kesan jangkamasa panjang yang buruk.
* paracetamol seperti panadol syrup dsb. Ia digunakan untuk mengurangkan demam dan juga rasa-rasa sakit badan yang dialami. Untuk kesan yang lebih cepat ubat yang dimasukkan ke dalam dubur (ubat jenis ini dipanggil supp. atau nama penuhnya suppository) digunakan. Antara persediaan yang ada di pasaran ialah paracetamol supp. dan voltaren supp (mengandungi bahan diclofenac sodium). Penggunaan aspirin atau methylsalicylate TIDAK dibenarkan.
* selain paracetamol, ubat yang lebih kuat seperti ibuprofen boleh juga digunakan untuk bayi berusia enam bulan ke atas.
* decongestant iaitu ubat titis yang digunakan untuk merawat hidung yang tersumbat.
* ORS iaitu oral rehaydration salt dalam bentuk serbuk yang dimasukkan ke dalam air dan diberi minum. ORS mengandungi bahan-bahan mineral untuk menggantikan cecair badan yang hilang akibat peluh dan / atau cirit-birit.
Rawatan-rawatan lain
* Pastikan bayi anda diberi air yang lebih. Pengambilan sekurang-kurangnya satu liter harus diamalkan.
* Buka baju atau semua pakaian bayi anda. JANGAN selimutkan bayi anda dengan pakaian tebal atau selimut.
* Tuam dahi dan badan bayi dengan tuala yang direndam dalam air. Air hendaklah tidak sejuk dan tidak berapa panas (agak suam).
Jika berlaku sawan (febrile convulsion), rawatan lanjut adalah diperlukan. Bila ini terjadi, tangan dan kaki bayi akan bergoncang tanpa kawalan. Muka bayi anda mungkin menjadi biru. Letakkan bayi dalam keadaan meniarap di atas bantal. Sekiranya bayi muntah, bersihkan mulut bayi anda dengan jari. Dapatkan pemeriksaan lanjut.
Sumber: http://comelzone.blogspot.com/2009/01/demam-panas.html
Januari 21, 2009
Keselamatan Makanan Bayi
Mungkin bayi anda telah biasa dengan makanan pejal dengan baik, namun dia tidak bersedia lagi untuk makan di gerai. Untuk melindungi sistem bayi yang sensitif, pastikan makanan yang diberikan kepadanya adalah bersih, berkhasiat dan disediakan dengan cara yang betul.
Basuh beras, buah-buahan dan sayur-sayuran dengan bersih semasa penyediaan. Ini adalah penting terutamanya jika makanan ini diberi secara mentah.
Jangan beri bayi daging, ikan, makanan laut atau telur yang mentah atau separuh masak.
Asingkan mangkuk dan sudu khas untuk bayi anda. Dengan ini, makanan bayi tidak akan dicemari oleh makanan ahli keluarga yang lain
Beri bayi makanan dalam bentuk cecair sehingga usianya enam bulan. Ketulan makanan, walaupun kecil tetap boleh menyebabkan bayi tercekik atau rasa tersekat.
Jangan beri bayi makanan yang telah terkena mulut anda. Jika makanan itu terlalu panas, biarkan ia sejuk dengan sendirinya, jangan meniup makanan tersebut dan jangan masukkan makanan ke dalam mulut anda untuk menyejukkannya!
Elakkan daripada memberi bayi makanan yang terproses. Jika anda pergi bercuti dan perlu membawa makanan komersial, pastikan ia mengandungi 100% bahan asli dan tidak mengandungi gula atau garam.
Jika anda memberi bayi makanan komersial daripada bekasnya, buang makanan yang tidak habis dimakan. Makanan ini mungkin telah dicemari sejurus terkena sudu.
Jangan beri bayi telur sebelum usianya mencecah enam bulan, dan pada mulanya, hanya memberi kuning telur yang dimasak rebus dan dihancurkan.
Walaupun sayur-sayuran adalah baik, sesetengah sayuran adalah tidak sesuai untuk bayi sebelum berusia setahun. Ini termasuk bayam, lobak, ubi bit dan buah-buahan masam seperti nanas dan limau masam.
Garis Panduan Menyedia Dan Memberi Makanan Pelengkap Kepada Bayi
Ikuti garis panduan berikut apabila menyediakan dan memberi makanan pelengkap kepada bayi:
Perkenalkan makanan baru satu demi satu dan dalam kuantiti kecil (sebanyak satu atau dua sudu sahaja).
Jangan tambah garam, gula atau minyak kepada makanan.
Jangan paksa anak untuk menerima makanan yang baru; cuba memberinya sekali lagi kemudian.
Tunggu 3-5 hari sebelum cuba memperkenalkan satu lagi makanan yang baru. Ini boleh membantu anda mengenalpasti sebarang alahan yang mungkin timbul.
Sementara memperkenalkan jenis makanan yang baru, terus memberikan makanan-makanan yang telah diperkenalkan dahulu.
Dari umur 6-8 bulan, mula memberi kombinasi beberapa jenis makanan.
Secra beransur-ansur, tingkatkan jumlah makanan yang diberi apabila bayi lebih besar.
Jadikan daging, ayam-itik, ikan atau telur sebahagian daripada diet bayi setiap hari, atau sekerap mungkin.
Suap bayi dengan perlahan dan sabar; jangan memaksa bayi makan.
Beri makanan yang sesuai dengan umur bayi.
Jangan beri kacang atau bijian yang boleh menyebabkan bayi tercekik.
Berbual dan berpandangan dengan bayi semasa menyuapnya.
Terus memberi susu ibu dan campurkannya dengan makanan lain sekiranya sesuai.
Jika si manja anda dijaga oleh pembantu rumah, pengasuh, ibubapa atau mertua anda, mereka juga harus diberitahu tentang garis panduan ini.
MAKANAN PERTAMA
Bubur, bubur dan bubur! Adakah anda sudah penat memikirkan apa untuk disediakan bagi bayi? Gunakan senarai di bawah sebagai panduan:
Mencecah 6 bulan: Beri si manja rasa sedikit selepas susu ibu
- Bijirin sedia-makan yang telah diperkayakan dengan zat besi
- Bubur nasi, oat atau barli
- Buah-buahan lecek seperti pisang, betik, epal, pear (berikan satu demi satu)
- Jus buah (cair) yang sudah ditapis (pastikan anda memberi jus satu jenis buah sahaja setiap kali; jangan campur dengan jus buah lain)
6-8 bulan: Beri 2-3 kali sehari
- Bubur nasi dengan sayur lecek, tauhu, ikan bilis yang dikisar halus atau kuning telur yang telah dilecek
- Buah-buahan yang dilecek atau dicincang halus
- Sayur, seperti lobak, kacang pis, tomato dan sayuran berdaun hijau, yang lembut atau dilecek
- Hati, daging ayam atau ikan yang dicincang atau dilecek (berikan satu jenis makanan sahaja pada satu masa; jangan campur dengan jenis yang lain; dan jangan lupa berhati-hati dengan tulang ikan!)
8-12 bulan: Beri 3-4 kali sehari sebelum memberi susu ibu
- Buah-buahan lembut yang dipotong menjadi kepingan kecil
- Jus buah yang sudah ditapis
- Sayur yang dicincang, termasuk sayur berdaun hijau
- Bubur nasi dengan daging dan ikan yang dicincang lumat atau halus
12 bulan ke atas: Beri 1-2 kali, dengan snek berkhasiat
- Nasi dimasak hingga lembut atau dilecek; dan mi yg dipotong menjadi kepingan kecil (termasuk koay teow, mihun dan mi).
- Bijirin gandum dan roti lembut (pastikan bayi tiada alahan)
- Putih telur yang dimasak (pastikan bayi tiada alahan)
- Buah-buahan lembut yang dipotong menjadi kepingan kecil
- Jus buah yang sudah ditapis
- Sayur yang dicincang, termasuk sayur berdaun hijau
Apabila si manja sakit
- Beri susu ibu lebih kerap
- Beri makanan kegemaran bayi yang sedap dan dimasak lembut
- Galakkan bayi makan lebih banyak sehingga berat badannya kembali seperti biasa
BOLEHKAH SAYA MEMBERI MAKANAN KOMERSIL?
Jika anda bekerja, sibuk dengan tugas di rumah atau terpaksa pergi ke tempat jauh, makanan bayi komersil merupakan alternatif yang mudah.
Makanan komersil yang paling biasa ialah bijirin sedia-makan, seperti bijirin nasi, oat atau barli, serta bijirin semua-dalam-satu yang mengandungi sayur atau buah- buahan. Anda juga boleh membeli buah dan sayur-sayuran yang sedia dipuri, dan jus buah komersil.
Periksa label pada bungkusan untuk memastikan ia tidak mengandungi bahan tambahan, perisa danpewarna tiruan, atau garam dan gula tambahan. Apabila membeli jus buah, pilih jus 100% yang tidak dicampur gula.
Walaupun senang disediakan, makanan komersil kurang kepelbagaian dan tidak akan memperkenalkan si manja kepada rasa tempatan yang sedap. Teruskan memberi bayi makanan pelengkap yang dimasak sendiri, sekerap mungkin. Bukankah kata orang, masakan ibu terbaik sekali?
Sumber: http://www.mypositiveparenting.org/articles/bm/solid-food-bm.htm
Memberi Makan Kepada Kanak-kanak Cerewet
Setiap bayi adalah berbeza dan sesetengah ibubapa mungkin mendapati tugas memperkenalkan makanan pejal kepada bayi adalah suatu yang sukar dan sesetengahnya pula mendapati ianya agak mudah. Sekiranya bayi anda menolak makanan yang diperkenalkan, di sini ada beberapa cara yang boleh anda lakukan:
Bayi anda sedang mempelajari rasa baru, jadi bersabarlah dan berikannya masa untuk membiasakan diri. Tambahan pula, dia hanya biasa dengan susu ibu, jadi janganlah risau sekiranya dia enggan makan makanan pejal. Jangan putus asa. Terus mencuba.
Sentiasa perkenalkan satu makanan baru sahaja pada sesuatu masa. Berikan makanan yang sama untuk selang masa 4 hari sebelum memperkenalkan makanan baru. Ini akan memberikan masa untuk bayi menyesuaikan diri dan anda akan dapat mengenali tindak balas alergi sekiranya ia berlaku.
Jangan cuba untuk mencampur adukkan makanan yang disukai dengan yang tidak disukainya. Ini mungkin menyebabkan bayi tidak suka kedua-duanya.
Berikannya pelbagai jenis makanan. Lebih banyak variasi, lebih baik keperluan pemakanan dapat dipenuhi. Sekiranya dia tidak suka sesuatu makanan, cuba masak dengan cara berbeza. Dengan itu, dia tidak kekurangan khasiat yang terdapat dalam makanan tertentu. Sebagai contoh, sediakan makanan dalam bentuk sup berbanding dalam bentuk puri.
Makanan Pertama, Rasa Pertama
Pada usia 6 bulan, anak anda sudah bersedia untuk makanan pejal. Artikel ini menunjukkan bagaimana anda boleh memulakannya di samping meneruskan penyusunan susu ibu.
Oleh Prof Madya Dr Poh Bee Koon, Pakar Pemakanan
Makan merupakan pengalaman baru untuk bayi berusia 6 bulan. Oleh kerana sudah biasa dengan susu dan gerakan lidah yang khusus untuk menyusu, secara semulajadinya lidah bayi anda akan menolak keluar sebarang makanan yang disuap ke dalam mulutnya. Menyuap makanan pejal dari sudu dan menelannya adalah kemahiran yang perlu dipelajari secara perlahan-lahan. Bayi anda perlu menguasai kemahiran ini mulai usia 6 bulan kerana pada usia ini, susu ibu sahaja sudah tidak memadai untuk memenuhi keperluan pemakanannya yang meningkat.
Artikel ini memberikan panduan langkah demi langkah bagaimana anda boleh memberikan bayi anda makanan pejal buat kali pertama. Mulakan dengan makanan separuh pejal seperti puri, dan diikuti dengan makanan yang semakin pejal pada bulanbulan berikutnya.
Berikannya makanan pejal pada waktu pagi atau tengah hari dan tingkatkan kekerapan secara berperingkat. Ingat jangan paksa bayi anda makan. Biarkannya belajar dengan caranya sendiri:
Sediakan makanan bayi, tuala kecil dan cawan di tempat yang mudah diambilnya. Buat kesemua persediaan sebelum anda mula memberi makan kepada bayi.
Bersembang dengan bayi anda tentang apa yang akan dialaminya. Malah, apabila bayi sudah biasa dengan rutin tersebut, dia pasti menantikan waktu makan apabila mendengar anda seringkali mengulangi perkara yang berkaitan dengan makan dan makanan.
Mulakan waktu makan dengan menyediakan beberapa sudu penuh makanan pejal sahaja. Oleh kerana baru belajar, bayi hanya akan makan sedikit makanan pejal sahaja. Sekiranya bayi lapar, anda boleh menambah dengan memberikannya susu ibu. Bagaimanapun, jangan berikan susu ibu sebelum makanan pejal kerana bayi akan rasa kenyang dan tidak berminat untuk mencuba makanan baru.
Ambil sedikit makanan dan letakkan di bibir bayi anda supaya dia boleh merasanya. Reaksi pertamanya terhadap makanan pejal mungkin kombinasi terkejut dan tidak mahu. Elakkan dari menyuap masuk sudu ke dalam mulutnya, kerana bayi anda baru belajar makan. Selepas beberapa percubaan, bayi anda akan mula menikmati proses memakan dan akan mula membuka mulutnya dengan luas ketika diberi makan.
Bayi anda sedang membiasakan diri dengan makanan pejal dan tidak boleh makan begitu banyak. Selepas memberi satu atau dua sudu makanan, sambung dengan penyusuan susu ibu. Anda boleh meningkatkan jumlah makanan pejal selepas bayi biasa dengannya.
sumber: http://www.mypositiveparenting.org/articles/bm/firstfoods-bm.htm
Memulakan Makanan Pejal
Memperkenalkan makanan pelengkap bila bayi berusia enam bulan
Oleh Profesor Madya Dr Norimah A Karim, Pakar Pemakanan
Lazimnya, bayi bergantung sepenuhnya kepada susu ibu sepanjang enam bulan pertama hayatnya. Si manja membesar dengan sihat dan mendapat segala nutrien yang diperlukan dalam jumlah yang tepat untuk memenuhi keperluan pemakanannya. Bagaimanapun, pada usia enam bulan, susu ibu semata-mata tidak lagi mencukupi. Inilah masanya untuk memperkenalkan makanan pelengkap ke dalam pemakanan bayi. Sambil meneruskan penyusuan ibu, anda boleh memberinya makanan lain sebagai pelengkap.
3 Asas Makanan Pelengkap
Pengetahuan tentang asas makanan pelengkap yang baik amat penting untuk memastikan si manja anda mendapat khasiat makanan yang betul dengan secukupnya.
1. Keperluan Pemakanan.
Makanan pelengkap seharusnya memberikan nilai pemakanan yang sekurang-kurangnya sama dengan susu ibu. Berilah si manja pelbagai makanan dalam jumlah secukupnya. Pengenalan makanan pelengkap bergantung pada umur dan perkembangan fisiologikal bayi. Makanan pertama sentiasa bijirin, dengan bubur nasi sebagai permulaan. Ini boleh diikuti dengan puri sayuran dan buah-buahan. Daging, ikan atau telur putih boleh diperkenalkan setelah bayi mencapai 6-8 bulan. Bayi seharusnya diberi makan buah-buahan dan sayuran yang kaya dengan vitamin A dan C setiap hari. Pastikan juga kandungan lemak dalam dietnya mencukupi. Hadkan jumlah minuman jus untuk mengelakkan si manja menolak lebih banyak makanan yang kaya dengan nutrien.
2. Jadual.
Bayi memerlukan makanan pelengkap dari usia 6 bulan hingga 18-24 bulan. Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengesyorkan agar bayi diberi makanan pelengkap 2-3 kali sehari antara 6-8 bulan, dan 3-4 kali sehari antara 9-24 bulan, dengan tambahan snek 1-2 kali sehari. Pada usia 12 bulan, bayi boleh mula makan makanan keluarga.
3. Jumlah Secukupnya.
Jumlah makanan pelengkap yang secukupnya bergantung kepada kepelbagaian makanan yang terdapat dalam rumah dan tabiat makan ibu bapa atau penjaga. Tugas memberi bayi makan memerlukan banyak kesabaran dan rangsangan, dan anda seharusnya sentiasa menyedari isyarat kelaparan si manja dan menggalakkannya untuk makan.
Makanan Yang Sesuai Untuk Bayi
Makanan pelengkap yang baik mesti dapat membekalkan tenaga dan nutrien secukupnya dan sesuai dengan peringkat tumbesaran bayi. Berikut antara makanan yang boleh anda berikan kepada si manja:
Bubur nasi, bijirin lain dan makanan berkanji
Biasanya, makanan pertama bayi pada usia 6 bulan ialah bubur nasi dan bijirin bayi yang kaya dengan zat besi. Bila usianya meningkat (lebih kurang 11 bulan), anda boleh beri si manja nasi lembut dan mi yang dilenyek.
Buah-buah dan sayuran
Mulakan dengan jus buah-buahan yang dicairkan dan sayuran yang dimasak hingga hancur. Bila bayi berusia antara 6-8 bulan, berikan buah-buahan lembut yang dilenyek atau dicincang halus, dan kacang pis dan sayuran berdaun hijau yang dimasak hingga lembut lalu dilenyek atau disaring. Antara 8-12 bulan, si manja sudah boleh mengambil potongan kecil buah-buahan lembut dan sayuran cincang yang mudah dikunyah untuk membolehkan bayi merasai tekstur yang berlainan.
Makanan kaya protein
Ikan bilis adalah antara makanan yang kaya dengan protein. Anda boleh beri si manja ikan bilis yang dipanggang dan ditumbuk halus atau kuning telur dan kacang pis yang dimasak dan disaring. Daging ayam dan isi ikan yang dicincang dan dilenyek boleh diberikan bila bayi berumur 6-8 bulan, dan selepas itu, anda boleh mencuba daging cincang atau keju lembut. Dalam keluaran yang akan datang, kami akan menghuraikan prinsip yang perlu dipatuhi bila memilih makanan pelengkap supaya si manja mendapat khasiat yang diperlukan dengan secukupnya untuk membesar dengan sihat.
BERHATI-HATI!!
Amalan yang tidak wajar seperti memaksa bayi makan mungkin mengakibatkan makan secara berlebihan sedangkan memberikan hanya satu jenis makanan boleh menyebabkan kekurangan pengambilan nutrisi. Jadi, pastikan anda memberi si manja makan dengan sabar dan perlahan lahan, galakkan (bukan paksa) anak anda makan, dan cuba makanan dengan kombinasi, rasa dan tekstur yang berlainan. Ingatlah, waktu makan adalah masa untuk si manja belajar dan kesempatan untuk anda mencurahkan kasih sayang. Jadi, bercakaplah dengan si manja bila anda memberinya makan dan jadikan waktu makan masa yang menyeronokkan.
Sumber: http://www.mypositiveparenting.org/articles/bm/v3-08-article08-bm.htm
Hati-hati Memberi Vitamin kepada Bayi
ADAKAH bayi terutama mereka yang berusia sekitar dua tahun memerlukan makanan tambahan seperti vitamin selain pengambilan makanan pejal biasa, susu badan atau susu formula?
APABILA bayi berusia enam bulan ke atas, makanan pejal akan diperkenalkan sebagai makanan tambahan kepada susu formula atau susu badan.
Bagi kanak-kanak normal berusia dua tahun ke atas di mana pengambilan makanan pejal sudah menjadi kebiasaan di samping susu, maka makanan tambahan seperti vitamin tidak perlu diambil dengan syarat pengambilan makanan itu mencukupi untuk kanak-kanak membesar dengan normal.
Makanan pejal dan susu adalah sumber makanan yang kaya dengan zat yang diperlukan untuk tumbesaran kanak-kanak seperti vitamin dan mineral. Sekiranya anak anda mengambil makanan yang mencukupi bagi pembesaran mereka seperti yang disarankan, pengambilan makanan tambahan tidak diperlukan.
Tambahan pula, makanan tambahan ini mungkin mengandungi bahan seperti pewarna dan perasa yang boleh membahayakan kesihatan anak anda. Anda perlu berhati-hati dengan makanan tambahan selain daripada vitamin dan mineral.
Anda perlu mendapat nasihat daripada doktor terlebih dulu sebelum memberi anak anda makanan tambahan terutama keluaran hasil daripada herba.
Badan kita memerlukan zat vitamin dan mineral dalam kadar yang amat sedikit bagi pembesaran yang optimum. Pemberian vitamin tertentu yang berlebihan akan memudaratkan kesihatan anak anda.
Bagaimanapun, makanan tambahan mungkin diperlukan bagi kanak-kanak yang tidak membesar dengan sempurna walaupun setelah mengambil makanan pejal dan susu yang mencukupi atau mengalami penyakit yang bersangkutan dengan kekurangan makanan dan vitamin. Justeru, nasihat doktor diperlukan terlebih dulu.
Sumber: http://hkotabelud.moh.gov.my/modules/news/article.php?storyid=8
Langgan:
Catatan (Atom)