Ogos 27, 2008

Masalah Kuning Bayi

Apabila diberitahu bayi anda mengalami masalah kuning atau jaundis, usah terlalu risau kerana ia antara masalah biasa yang dialami kebanyakan bayi baru lahir. Jaundis berasal daripada perkataan Perancis ‘jaune’ yang bermakna kuning.

Jaundis berlaku pada 80 peratus bayi yang lahir tidak cukup bulan dan 50 peratus bayi cukup bulan. Tanda kuning ini muncul dalam masa beberapa hari pertama selepas bayi dilahirkan.

Apa menyebabkan kulit bayi menjadi kuning?

Ia disebabkan kehadiran bilirubin, iaitu pigmen berwarna kuning kemerahan. Apabila kandungan bilirubin dalam darah berlebihan, kulit bayi kelihatan kekuningan.

Bagaimana boleh berlaku berlebihan bilirubin dalam darah bayi?

Bilirubin terhasil apabila sel darah merah pecah. Ini proses normal yang berlaku pada semua orang. Biasanya bilirubin dihantar ke hati dan disingkirkan sebagai hempedu melalui usus kecil.Oleh kerana bayi baru lahir mempunyai banyak sel darah merah, ia boleh meningkatkan jumlah bilirubin dalam darah.

Namun, masalah kuning berlaku apabila penghasilan bilirubin lebih cepat daripada kemampuan hati bayi ‘memprosesnya’ menjadi hempedu.

Dua perkara boleh menyebabkan jaundis neonatal (bayi yang kurang dari empat minggu) iaitu:


  • Bayi baru lahir ada terlalu banyak sel darah merah. Secara semula jadi, badan bayi memecahkan sel darah merah yang berlebihan dan ia mengakibatkan jumlah bilirubin dalam darah meningkat. Bilirubin menyebabkan kulit bayi bertukar menjadi kekuningan

  • Hati bayi baru lahir tidak matang dan tidak boleh memproses bilirubin secepat mungkin. Ia bermakna hati bayi belum berkembang sepenuhnya dan ia mengambil sedikit masa untuk menyingkirkan bilirubin dalam darah

Jaundis dibahagikan kepada beberapa jenis dan antara paling lazim ialah:



  • Jaundis biasa (fisiologi) — Berlaku kepada lebih 50 peratus bayi baru lahir, akibat hati bayi yang belum matang. Ia biasanya muncul dua hingga empat hari selepas bayi dilahirkan dan hilang apabila bayi berumur satu hingga dua minggu.

  • Jaundis pada bayi tidak cukup bulan — Bayi yang dilahirkan tidak cukup bulan mengambil masa lebih lama untuk menyingkirkan bilirubin.

  • Jaundis susu ibu — Ia berlaku pada satu hingga dua peratus bayi yang menyusu badan. Jaundis boleh disebabkan oleh bahan tertentu dalam susu badan. Masalah ini boleh bermula dalam masa empat hingga tujuh hari selepas bayi dilahirkan dan berlanjutan antara tiga hingga 10 minggu.
Antara jaundis neonatal lain ialah trauma kelahiran, pendarahan intra ventrikular (pada bayi tidak cukup bulan), pengumpulan darah pada tisu yang menyelaputi tulang (sefalohematoma), peningkatan jumlah sel darah mendadak (akibat penghasilan sel darah berlebihan dari sumsum tulang), pemindahan ibu ke anak atau kembar.

Apa akan berlaku apabila bayi mengalami jaundis?

Jaundis biasanya muncul pada hari kedua atau ketiga selepas bayi dilahirkan. Biasanya ia bermula dari kepala dan beransur-ansur merebak ke bawah. Biasanya perubahan warna kulit bayi daripada kemerahan ke kekuningan bermula dari muka ke dada, perut dan akhirnya ke kaki. Malah, mata putih juga boleh menjadi kekuningan.

Kadangkala ujian darah diperlukan untuk rawatan selanjutnya. Berdasarkan keputusan ujian darah dan keadaan keseluruhan seseorang bayi, doktor akan menentukan bila rawatan perlu dimulakan.

Jika doktor berasakan rawatan tidak diperlukan, masalah jaundis berkurang selepas seminggu dan hilang sepenuhnya dalam masa dua minggu.Sebaliknya jika rawatan diperlukan, bayi diletakkan di bawah terapi cahaya dan biasanya menggunakan Cahaya Bili atau Cahaya Pengurangan Bilirubin. Dalam rawatan ini, bayi diletakkan dalam keadaan bogel dengan mata bertutup.

Adakah jaundis berbahaya kepada bayi?

Dalam keadaan serius, ia boleh menyebabkan beberapa komplikasi seperti:



  • Kernikterus (pewarnaan dan kerosakan otak akibat bilirubin berlebihan)

  • Kerosakan otak

  • Pendengaran terjejas

  • Cerebral Palsi

Sesetengah orang percaya masalah kuning dapat dikurangkan dengan memberi bayi susu kambing, tetapi sehingga kini tiada kajian dilakukan untuk mengesahkannya. Malah, ubat tradisional dari kedai sinseh seperti ubat mandi boleh mengganggu pengurusan rawatan.


Kaedah yang dikenal pasti berkesan ialah menjemur bayi dengan mendedahkan seluruh badan kepada cahaya, kecuali matanya (tutup dengan kain).Bagaimanapun, bukan menjemur bayi secara langsung di bawah cahaya matahari, sebaliknya memadai meletakkannya berdekatan tingkap yang ada cahaya teduh.Ketika ini, ibu yang memberi susu badan dinasihatkan tidak makan jamu.


Seperkara lagi, meskipun susu badan juga boleh menyebabkan jaundis, ia tidak bermakna anda perlu menghentikan pemberian susu badan.Walaupun masalah kuning (bukan demam kuning kerana bayi tidak demam) adalah perkara biasa, ia tidak boleh dipandang ringan. Dapatkan pandangan kedua daripada doktor lain jika bayi anda memerlukan rawatan.


Sumber: http://www.hmetro.com.my/Sunday/Sihat/20080504104009

Tiada ulasan:

Catat Ulasan