Oktober 30, 2008

Tekanan Punca Ibu Gagal Susukan Bayi

Lilypie 1st Birthday Ticker

by Berita Harian - Raihanah Abdullah

KITA sering dengar orang mengatakan susu ibu adalah susu terbaik untuk bayi. Namun, masih ramai juga ibu yang tidak berpeluang untuk menyusukan bayi mereka.Satu daripada faktor yang menyebabkan ibu menghadapi masalah atau gagal menyusukan bayi mereka ialah kurang yakin pada diri sendiri, tertekan, runsing, kurang mendapat maklumat mengenai penyusuan dan bimbang susu tidak mencukupi.Perunding Laktasi, Christine Choong, berkata ibu yang gagal menyusukan anak mereka, sekurang-kurangnya secara eksklusif selama enam bulan selalunya kurang yakin mereka mampu menyusukan bayi sepenuhnya.

Beliau berkata, ibu tidak sepatutnya berfikiran negatif apabila hendak menyusukan bayi kerana semakin kerap mereka menyusukan anak, semakin bertambah kandungan susu yang akan terhasil dan dikeluarkan.Katanya, kurang yakin pada diri sendiri sedikit sebanyak akan menyebabkan tekanan perasaan dan ini boleh mempengaruhi penghasilan susu.“Sebaik-baiknya cuba bertenang ketika menyusukan bayi anda dan cuba beri tumpuan penuh kepada bayi setiap kali menyusu. Yakinlah, semakin kerap anda menyusukan bayi, semakin banyak susu akan terhasil.“Ibu juga perlu sentiasa ingat, bukan lagi masanya bagi mereka untuk mendapat tidur nyenyak selama 10 jam kerana mereka sudah mempunyai tanggungjawab lain, iaitu menjaga dan menyusukan bayi,” katanya.

Beliau berkata, ibu juga perlu memikirkan mengenai bayi mereka dengan penuh perasaan kasih sayang dan sentiasa memastikan berkeadaan selesa dan tenteram.Katanya, sebelum menyusu, ibu digalakkan supaya memerah sedikit susu dan dengan lembut membuat rangsangan pada puting payu dara mereka untuk menggalakkan pengeluaran susu.Bagaimanapun, katanya, ibu dinasihatkan supaya tidak risau, berperasaan takut, bimbang atau malu selain berhenti merokok atau mengambil minuman keras.

Penghasilan susu ibu akan bertambah disebabkan penurunan hormon progesteron, lazimnya, 30 hingga 40 jam selepas kelahiran.Prolaktin dan oksitoksin (hormon menghasilkan susu) akan dihasilkan secara semula jadi selepas melahirkan bayi dan bertindak balas dengan hisapan puting oleh bayi.

Bahagian payu dara yang menghasilkan susu (lihat grafik).

  • Alveoli adalah bahagian yang menghasilkan susu.
  • Saluran susu dan sinus akan menyalurkan susu ke puting. Bayi perlu diletak dengan betul supaya dapat memberikan tekanan pada saluran susu untuk bayi menyusu dengan berkesan.
  • Areola, di mana terletaknya kelenjar Montgomery melindungi kulit puting. Bayi perlu memasukkan sebanyak mungkin bahagian bawah areola ke dalam mulutnya.
  • Puting dan liang puting yang menyalurkan susu kepada bayi.


Faedah susu ibu kepada bayi:

  • Mengandungi khasiat zat lengkap yang memenuhi keperluan bayi.
  • Mengandungi protein, lemak dan asid lemak Omega 3 yang mudah dihadamkan supaya kadar pertumbuhan fizikal dan perkembangan mental bayi sihat.
  • Membantu perkembangan otak dan sistem saraf dan meningkatkan tahap kecerdasan.
  • Melindungi bayi daripada jangkitan dan penyakit seperti gangguan usus, masalah pernafasan dan jangkitan telinga kerana susu ibu mengandungi sel hidup dan antibodi.
  • Mengurangkan risiko penyakit kencing manis dan kanser kanak-kanak.
  • Melindungi daripada alahan.
  • Mengurangkan risiko inflamasi kolon bayi pramatang.
  • Mengurangkan masalah gigi berlubang, penglihatan, pertuturan dan menguatkan pertumbuhan rahang.
  • Mengurangkan risiko penyakit jantung pada kemudian hari.
  • Mengurangkan risiko sindrom kematian bayi.
  • Menggalakkan hubungan silaturahim antara ibu dan anak.

Faedah menyusu kepada ibu:

  • Melindungi kanser payu dara dan kanser ovari.
  • Membantu mengurangkan berat badan dan mengempiskan perut kerana hormon oksitoksin membantu mengecutkan rahim.
  • Mempercepatkan pemulihan ibu selepas kelahiran bayi.
  • Menjimatkan masa dan wang kerana tidak perlu menyediakan barang keperluan untuk penyusuan.
  • Risiko pereputan tulang dan masalah jantung dapat dikurangkan.
  • Satu cara merancang keluarga dan menjarakkan kelahiran antara anak secara semula jadi.
  • Penyusuan ibu sepenuhnya dapat menjadikan ibu berasa puas hati kerana melaksanakan tanggungjawab seorang ibu dengan sempurna.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan