Memaparkan catatan dengan label makanan pejal. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label makanan pejal. Papar semua catatan

Januari 21, 2009

Keselamatan Makanan Bayi

Lilypie 1st Birthday Ticker


Mungkin bayi anda telah biasa dengan makanan pejal dengan baik, namun dia tidak bersedia lagi untuk makan di gerai. Untuk melindungi sistem bayi yang sensitif, pastikan makanan yang diberikan kepadanya adalah bersih, berkhasiat dan disediakan dengan cara yang betul.

Basuh beras, buah-buahan dan sayur-sayuran dengan bersih semasa penyediaan. Ini adalah penting terutamanya jika makanan ini diberi secara mentah.

Jangan beri bayi daging, ikan, makanan laut atau telur yang mentah atau separuh masak.

Asingkan mangkuk dan sudu khas untuk bayi anda. Dengan ini, makanan bayi tidak akan dicemari oleh makanan ahli keluarga yang lain

Beri bayi makanan dalam bentuk cecair sehingga usianya enam bulan. Ketulan makanan, walaupun kecil tetap boleh menyebabkan bayi tercekik atau rasa tersekat.

Jangan beri bayi makanan yang telah terkena mulut anda. Jika makanan itu terlalu panas, biarkan ia sejuk dengan sendirinya, jangan meniup makanan tersebut dan jangan masukkan makanan ke dalam mulut anda untuk menyejukkannya!

Elakkan daripada memberi bayi makanan yang terproses. Jika anda pergi bercuti dan perlu membawa makanan komersial, pastikan ia mengandungi 100% bahan asli dan tidak mengandungi gula atau garam.

Jika anda memberi bayi makanan komersial daripada bekasnya, buang makanan yang tidak habis dimakan. Makanan ini mungkin telah dicemari sejurus terkena sudu.

Jangan beri bayi telur sebelum usianya mencecah enam bulan, dan pada mulanya, hanya memberi kuning telur yang dimasak rebus dan dihancurkan.

Walaupun sayur-sayuran adalah baik, sesetengah sayuran adalah tidak sesuai untuk bayi sebelum berusia setahun. Ini termasuk bayam, lobak, ubi bit dan buah-buahan masam seperti nanas dan limau masam.

Memberi Makan Kepada Kanak-kanak Cerewet














Setiap bayi adalah berbeza dan sesetengah ibubapa mungkin mendapati tugas memperkenalkan makanan pejal kepada bayi adalah suatu yang sukar dan sesetengahnya pula mendapati ianya agak mudah. Sekiranya bayi anda menolak makanan yang diperkenalkan, di sini ada beberapa cara yang boleh anda lakukan:

Bayi anda sedang mempelajari rasa baru, jadi bersabarlah dan berikannya masa untuk membiasakan diri. Tambahan pula, dia hanya biasa dengan susu ibu, jadi janganlah risau sekiranya dia enggan makan makanan pejal. Jangan putus asa. Terus mencuba.

Sentiasa perkenalkan satu makanan baru sahaja pada sesuatu masa. Berikan makanan yang sama untuk selang masa 4 hari sebelum memperkenalkan makanan baru. Ini akan memberikan masa untuk bayi menyesuaikan diri dan anda akan dapat mengenali tindak balas alergi sekiranya ia berlaku.

Jangan cuba untuk mencampur adukkan makanan yang disukai dengan yang tidak disukainya. Ini mungkin menyebabkan bayi tidak suka kedua-duanya.

Berikannya pelbagai jenis makanan. Lebih banyak variasi, lebih baik keperluan pemakanan dapat dipenuhi. Sekiranya dia tidak suka sesuatu makanan, cuba masak dengan cara berbeza. Dengan itu, dia tidak kekurangan khasiat yang terdapat dalam makanan tertentu. Sebagai contoh, sediakan makanan dalam bentuk sup berbanding dalam bentuk puri.

Makanan Pertama, Rasa Pertama

Lilypie 1st Birthday Ticker

Pada usia 6 bulan, anak anda sudah bersedia untuk makanan pejal. Artikel ini menunjukkan bagaimana anda boleh memulakannya di samping meneruskan penyusunan susu ibu.

Oleh Prof Madya Dr Poh Bee Koon, Pakar Pemakanan

Makan merupakan pengalaman baru untuk bayi berusia 6 bulan. Oleh kerana sudah biasa dengan susu dan gerakan lidah yang khusus untuk menyusu, secara semulajadinya lidah bayi anda akan menolak keluar sebarang makanan yang disuap ke dalam mulutnya. Menyuap makanan pejal dari sudu dan menelannya adalah kemahiran yang perlu dipelajari secara perlahan-lahan. Bayi anda perlu menguasai kemahiran ini mulai usia 6 bulan kerana pada usia ini, susu ibu sahaja sudah tidak memadai untuk memenuhi keperluan pemakanannya yang meningkat.

Artikel ini memberikan panduan langkah demi langkah bagaimana anda boleh memberikan bayi anda makanan pejal buat kali pertama. Mulakan dengan makanan separuh pejal seperti puri, dan diikuti dengan makanan yang semakin pejal pada bulanbulan berikutnya.

Berikannya makanan pejal pada waktu pagi atau tengah hari dan tingkatkan kekerapan secara berperingkat. Ingat jangan paksa bayi anda makan. Biarkannya belajar dengan caranya sendiri:

Sediakan makanan bayi, tuala kecil dan cawan di tempat yang mudah diambilnya. Buat kesemua persediaan sebelum anda mula memberi makan kepada bayi.

Bersembang dengan bayi anda tentang apa yang akan dialaminya. Malah, apabila bayi sudah biasa dengan rutin tersebut, dia pasti menantikan waktu makan apabila mendengar anda seringkali mengulangi perkara yang berkaitan dengan makan dan makanan.

Mulakan waktu makan dengan menyediakan beberapa sudu penuh makanan pejal sahaja. Oleh kerana baru belajar, bayi hanya akan makan sedikit makanan pejal sahaja. Sekiranya bayi lapar, anda boleh menambah dengan memberikannya susu ibu. Bagaimanapun, jangan berikan susu ibu sebelum makanan pejal kerana bayi akan rasa kenyang dan tidak berminat untuk mencuba makanan baru.

Ambil sedikit makanan dan letakkan di bibir bayi anda supaya dia boleh merasanya. Reaksi pertamanya terhadap makanan pejal mungkin kombinasi terkejut dan tidak mahu. Elakkan dari menyuap masuk sudu ke dalam mulutnya, kerana bayi anda baru belajar makan. Selepas beberapa percubaan, bayi anda akan mula menikmati proses memakan dan akan mula membuka mulutnya dengan luas ketika diberi makan.

Bayi anda sedang membiasakan diri dengan makanan pejal dan tidak boleh makan begitu banyak. Selepas memberi satu atau dua sudu makanan, sambung dengan penyusuan susu ibu. Anda boleh meningkatkan jumlah makanan pejal selepas bayi biasa dengannya.

sumber: http://www.mypositiveparenting.org/articles/bm/firstfoods-bm.htm

Memulakan Makanan Pejal

Lilypie 1st Birthday Ticker


Memperkenalkan makanan pelengkap bila bayi berusia enam bulan
Oleh Profesor Madya Dr Norimah A Karim, Pakar Pemakanan


Lazimnya, bayi bergantung sepenuhnya kepada susu ibu sepanjang enam bulan pertama hayatnya. Si manja membesar dengan sihat dan mendapat segala nutrien yang diperlukan dalam jumlah yang tepat untuk memenuhi keperluan pemakanannya. Bagaimanapun, pada usia enam bulan, susu ibu semata-mata tidak lagi mencukupi. Inilah masanya untuk memperkenalkan makanan pelengkap ke dalam pemakanan bayi. Sambil meneruskan penyusuan ibu, anda boleh memberinya makanan lain sebagai pelengkap.

3 Asas Makanan Pelengkap
Pengetahuan tentang asas makanan pelengkap yang baik amat penting untuk memastikan si manja anda mendapat khasiat makanan yang betul dengan secukupnya.

1. Keperluan Pemakanan.
Makanan pelengkap seharusnya memberikan nilai pemakanan yang sekurang-kurangnya sama dengan susu ibu. Berilah si manja pelbagai makanan dalam jumlah secukupnya. Pengenalan makanan pelengkap bergantung pada umur dan perkembangan fisiologikal bayi. Makanan pertama sentiasa bijirin, dengan bubur nasi sebagai permulaan. Ini boleh diikuti dengan puri sayuran dan buah-buahan. Daging, ikan atau telur putih boleh diperkenalkan setelah bayi mencapai 6-8 bulan. Bayi seharusnya diberi makan buah-buahan dan sayuran yang kaya dengan vitamin A dan C setiap hari. Pastikan juga kandungan lemak dalam dietnya mencukupi. Hadkan jumlah minuman jus untuk mengelakkan si manja menolak lebih banyak makanan yang kaya dengan nutrien.

2. Jadual.
Bayi memerlukan makanan pelengkap dari usia 6 bulan hingga 18-24 bulan. Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengesyorkan agar bayi diberi makanan pelengkap 2-3 kali sehari antara 6-8 bulan, dan 3-4 kali sehari antara 9-24 bulan, dengan tambahan snek 1-2 kali sehari. Pada usia 12 bulan, bayi boleh mula makan makanan keluarga.

3. Jumlah Secukupnya.
Jumlah makanan pelengkap yang secukupnya bergantung kepada kepelbagaian makanan yang terdapat dalam rumah dan tabiat makan ibu bapa atau penjaga. Tugas memberi bayi makan memerlukan banyak kesabaran dan rangsangan, dan anda seharusnya sentiasa menyedari isyarat kelaparan si manja dan menggalakkannya untuk makan.

Makanan Yang Sesuai Untuk Bayi
Makanan pelengkap yang baik mesti dapat membekalkan tenaga dan nutrien secukupnya dan sesuai dengan peringkat tumbesaran bayi. Berikut antara makanan yang boleh anda berikan kepada si manja:

Bubur nasi, bijirin lain dan makanan berkanji
Biasanya, makanan pertama bayi pada usia 6 bulan ialah bubur nasi dan bijirin bayi yang kaya dengan zat besi. Bila usianya meningkat (lebih kurang 11 bulan), anda boleh beri si manja nasi lembut dan mi yang dilenyek.

Buah-buah dan sayuran
Mulakan dengan jus buah-buahan yang dicairkan dan sayuran yang dimasak hingga hancur. Bila bayi berusia antara 6-8 bulan, berikan buah-buahan lembut yang dilenyek atau dicincang halus, dan kacang pis dan sayuran berdaun hijau yang dimasak hingga lembut lalu dilenyek atau disaring. Antara 8-12 bulan, si manja sudah boleh mengambil potongan kecil buah-buahan lembut dan sayuran cincang yang mudah dikunyah untuk membolehkan bayi merasai tekstur yang berlainan.

Makanan kaya protein
Ikan bilis adalah antara makanan yang kaya dengan protein. Anda boleh beri si manja ikan bilis yang dipanggang dan ditumbuk halus atau kuning telur dan kacang pis yang dimasak dan disaring. Daging ayam dan isi ikan yang dicincang dan dilenyek boleh diberikan bila bayi berumur 6-8 bulan, dan selepas itu, anda boleh mencuba daging cincang atau keju lembut. Dalam keluaran yang akan datang, kami akan menghuraikan prinsip yang perlu dipatuhi bila memilih makanan pelengkap supaya si manja mendapat khasiat yang diperlukan dengan secukupnya untuk membesar dengan sihat.

BERHATI-HATI!!

Amalan yang tidak wajar seperti memaksa bayi makan mungkin mengakibatkan makan secara berlebihan sedangkan memberikan hanya satu jenis makanan boleh menyebabkan kekurangan pengambilan nutrisi. Jadi, pastikan anda memberi si manja makan dengan sabar dan perlahan lahan, galakkan (bukan paksa) anak anda makan, dan cuba makanan dengan kombinasi, rasa dan tekstur yang berlainan. Ingatlah, waktu makan adalah masa untuk si manja belajar dan kesempatan untuk anda mencurahkan kasih sayang. Jadi, bercakaplah dengan si manja bila anda memberinya makan dan jadikan waktu makan masa yang menyeronokkan.

Sumber: http://www.mypositiveparenting.org/articles/bm/v3-08-article08-bm.htm

Hati-hati Memberi Vitamin kepada Bayi

Lilypie 1st Birthday Ticker

ADAKAH bayi terutama mereka yang berusia sekitar dua tahun memerlukan makanan tambahan seperti vitamin selain pengambilan makanan pejal biasa, susu badan atau susu formula?


APABILA bayi berusia enam bulan ke atas, makanan pejal akan diperkenalkan sebagai makanan tambahan kepada susu formula atau susu badan.

Bagi kanak-kanak normal berusia dua tahun ke atas di mana pengambilan makanan pejal sudah menjadi kebiasaan di samping susu, maka makanan tambahan seperti vitamin tidak perlu diambil dengan syarat pengambilan makanan itu mencukupi untuk kanak-kanak membesar dengan normal.

Makanan pejal dan susu adalah sumber makanan yang kaya dengan zat yang diperlukan untuk tumbesaran kanak-kanak seperti vitamin dan mineral. Sekiranya anak anda mengambil makanan yang mencukupi bagi pembesaran mereka seperti yang disarankan, pengambilan makanan tambahan tidak diperlukan.

Tambahan pula, makanan tambahan ini mungkin mengandungi bahan seperti pewarna dan perasa yang boleh membahayakan kesihatan anak anda. Anda perlu berhati-hati dengan makanan tambahan selain daripada vitamin dan mineral.

Anda perlu mendapat nasihat daripada doktor terlebih dulu sebelum memberi anak anda makanan tambahan terutama keluaran hasil daripada herba.

Badan kita memerlukan zat vitamin dan mineral dalam kadar yang amat sedikit bagi pembesaran yang optimum. Pemberian vitamin tertentu yang berlebihan akan memudaratkan kesihatan anak anda.

Bagaimanapun, makanan tambahan mungkin diperlukan bagi kanak-kanak yang tidak membesar dengan sempurna walaupun setelah mengambil makanan pejal dan susu yang mencukupi atau mengalami penyakit yang bersangkutan dengan kekurangan makanan dan vitamin. Justeru, nasihat doktor diperlukan terlebih dulu.

Sumber: http://hkotabelud.moh.gov.my/modules/news/article.php?storyid=8