Januari 21, 2009

Memulakan Makanan Pejal

Lilypie 1st Birthday Ticker


Memperkenalkan makanan pelengkap bila bayi berusia enam bulan
Oleh Profesor Madya Dr Norimah A Karim, Pakar Pemakanan


Lazimnya, bayi bergantung sepenuhnya kepada susu ibu sepanjang enam bulan pertama hayatnya. Si manja membesar dengan sihat dan mendapat segala nutrien yang diperlukan dalam jumlah yang tepat untuk memenuhi keperluan pemakanannya. Bagaimanapun, pada usia enam bulan, susu ibu semata-mata tidak lagi mencukupi. Inilah masanya untuk memperkenalkan makanan pelengkap ke dalam pemakanan bayi. Sambil meneruskan penyusuan ibu, anda boleh memberinya makanan lain sebagai pelengkap.

3 Asas Makanan Pelengkap
Pengetahuan tentang asas makanan pelengkap yang baik amat penting untuk memastikan si manja anda mendapat khasiat makanan yang betul dengan secukupnya.

1. Keperluan Pemakanan.
Makanan pelengkap seharusnya memberikan nilai pemakanan yang sekurang-kurangnya sama dengan susu ibu. Berilah si manja pelbagai makanan dalam jumlah secukupnya. Pengenalan makanan pelengkap bergantung pada umur dan perkembangan fisiologikal bayi. Makanan pertama sentiasa bijirin, dengan bubur nasi sebagai permulaan. Ini boleh diikuti dengan puri sayuran dan buah-buahan. Daging, ikan atau telur putih boleh diperkenalkan setelah bayi mencapai 6-8 bulan. Bayi seharusnya diberi makan buah-buahan dan sayuran yang kaya dengan vitamin A dan C setiap hari. Pastikan juga kandungan lemak dalam dietnya mencukupi. Hadkan jumlah minuman jus untuk mengelakkan si manja menolak lebih banyak makanan yang kaya dengan nutrien.

2. Jadual.
Bayi memerlukan makanan pelengkap dari usia 6 bulan hingga 18-24 bulan. Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengesyorkan agar bayi diberi makanan pelengkap 2-3 kali sehari antara 6-8 bulan, dan 3-4 kali sehari antara 9-24 bulan, dengan tambahan snek 1-2 kali sehari. Pada usia 12 bulan, bayi boleh mula makan makanan keluarga.

3. Jumlah Secukupnya.
Jumlah makanan pelengkap yang secukupnya bergantung kepada kepelbagaian makanan yang terdapat dalam rumah dan tabiat makan ibu bapa atau penjaga. Tugas memberi bayi makan memerlukan banyak kesabaran dan rangsangan, dan anda seharusnya sentiasa menyedari isyarat kelaparan si manja dan menggalakkannya untuk makan.

Makanan Yang Sesuai Untuk Bayi
Makanan pelengkap yang baik mesti dapat membekalkan tenaga dan nutrien secukupnya dan sesuai dengan peringkat tumbesaran bayi. Berikut antara makanan yang boleh anda berikan kepada si manja:

Bubur nasi, bijirin lain dan makanan berkanji
Biasanya, makanan pertama bayi pada usia 6 bulan ialah bubur nasi dan bijirin bayi yang kaya dengan zat besi. Bila usianya meningkat (lebih kurang 11 bulan), anda boleh beri si manja nasi lembut dan mi yang dilenyek.

Buah-buah dan sayuran
Mulakan dengan jus buah-buahan yang dicairkan dan sayuran yang dimasak hingga hancur. Bila bayi berusia antara 6-8 bulan, berikan buah-buahan lembut yang dilenyek atau dicincang halus, dan kacang pis dan sayuran berdaun hijau yang dimasak hingga lembut lalu dilenyek atau disaring. Antara 8-12 bulan, si manja sudah boleh mengambil potongan kecil buah-buahan lembut dan sayuran cincang yang mudah dikunyah untuk membolehkan bayi merasai tekstur yang berlainan.

Makanan kaya protein
Ikan bilis adalah antara makanan yang kaya dengan protein. Anda boleh beri si manja ikan bilis yang dipanggang dan ditumbuk halus atau kuning telur dan kacang pis yang dimasak dan disaring. Daging ayam dan isi ikan yang dicincang dan dilenyek boleh diberikan bila bayi berumur 6-8 bulan, dan selepas itu, anda boleh mencuba daging cincang atau keju lembut. Dalam keluaran yang akan datang, kami akan menghuraikan prinsip yang perlu dipatuhi bila memilih makanan pelengkap supaya si manja mendapat khasiat yang diperlukan dengan secukupnya untuk membesar dengan sihat.

BERHATI-HATI!!

Amalan yang tidak wajar seperti memaksa bayi makan mungkin mengakibatkan makan secara berlebihan sedangkan memberikan hanya satu jenis makanan boleh menyebabkan kekurangan pengambilan nutrisi. Jadi, pastikan anda memberi si manja makan dengan sabar dan perlahan lahan, galakkan (bukan paksa) anak anda makan, dan cuba makanan dengan kombinasi, rasa dan tekstur yang berlainan. Ingatlah, waktu makan adalah masa untuk si manja belajar dan kesempatan untuk anda mencurahkan kasih sayang. Jadi, bercakaplah dengan si manja bila anda memberinya makan dan jadikan waktu makan masa yang menyeronokkan.

Sumber: http://www.mypositiveparenting.org/articles/bm/v3-08-article08-bm.htm

Tiada ulasan:

Catat Ulasan