Januari 21, 2009
Hati-hati Memberi Vitamin kepada Bayi
ADAKAH bayi terutama mereka yang berusia sekitar dua tahun memerlukan makanan tambahan seperti vitamin selain pengambilan makanan pejal biasa, susu badan atau susu formula?
APABILA bayi berusia enam bulan ke atas, makanan pejal akan diperkenalkan sebagai makanan tambahan kepada susu formula atau susu badan.
Bagi kanak-kanak normal berusia dua tahun ke atas di mana pengambilan makanan pejal sudah menjadi kebiasaan di samping susu, maka makanan tambahan seperti vitamin tidak perlu diambil dengan syarat pengambilan makanan itu mencukupi untuk kanak-kanak membesar dengan normal.
Makanan pejal dan susu adalah sumber makanan yang kaya dengan zat yang diperlukan untuk tumbesaran kanak-kanak seperti vitamin dan mineral. Sekiranya anak anda mengambil makanan yang mencukupi bagi pembesaran mereka seperti yang disarankan, pengambilan makanan tambahan tidak diperlukan.
Tambahan pula, makanan tambahan ini mungkin mengandungi bahan seperti pewarna dan perasa yang boleh membahayakan kesihatan anak anda. Anda perlu berhati-hati dengan makanan tambahan selain daripada vitamin dan mineral.
Anda perlu mendapat nasihat daripada doktor terlebih dulu sebelum memberi anak anda makanan tambahan terutama keluaran hasil daripada herba.
Badan kita memerlukan zat vitamin dan mineral dalam kadar yang amat sedikit bagi pembesaran yang optimum. Pemberian vitamin tertentu yang berlebihan akan memudaratkan kesihatan anak anda.
Bagaimanapun, makanan tambahan mungkin diperlukan bagi kanak-kanak yang tidak membesar dengan sempurna walaupun setelah mengambil makanan pejal dan susu yang mencukupi atau mengalami penyakit yang bersangkutan dengan kekurangan makanan dan vitamin. Justeru, nasihat doktor diperlukan terlebih dulu.
Sumber: http://hkotabelud.moh.gov.my/modules/news/article.php?storyid=8
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan