Oktober 09, 2008

Usia bawah 30 hari paling sesuai bersunat

Lilypie 1st Birthday Ticker


Oleh Ziauddin Sharuddin

Pada tempoh itu kesakitan yang dialami bayi adalah minimum dan tidak sesakit selepas berusia sebulan
AMALAN tradisi masyarakat Melayu menyebabkan majoriti ibu bapa memilih umur anak-anak antara 10 hingga 12 tahun untuk bersunat walaupun amalan perubatan moden melihat umur antara sehari hingga sebulan adalah yang terbaik.

Pakar perunding pembedahan dan urologis pediatrik Hospital Pakar Ampang Puteri, Dr Amin Tai, berkata hari kedua selepas bayi dilahirkan adalah waktu terbaik kerana dapat mengurangkan kesakitan bayi. Katanya, bius setempat biasanya diberikan kepada bayi yang berumur antara sehari hingga sebulan menyebabkan kesakitan adalah minimum dan walaupun dirasai, tidak sesakit berbanding umur selepas sebulan. “Bayi membesar dengan pantas dan pada usia dua atau tiga bulan, dia sudah aktif seperti kakinya kuat menendang. Pada usia empat atau lima tahun, kanak-kanak cukup lasak menyebabkan bersunat menjadi lebih sukar.“Sebab itu saya mencadangkan ibu bapa menyunatkan anak-anak ketika berusia satu bulan ke bawah,” katanya.

Bagaimanapun, katanya masyarakat Melayu lebih gemar menunggu hingga kanak-kanak besar dan memasuki alam persekolahan kerana dipengaruhi faktor adat dan itulah yang ibu bapa mereka lakukan dulu. Katanya, keadaan berbeza berbanding masyarakat Arab di Timur Tengah yang lebih suka bersunat dilakukan pada peringkat bayi, bukan saja kerana faktor agama tetapi banyak kebaikan dari segi kesihatan. “Komplikasi di kalangan bayi lebih rendah, berbanding kanak-kanak yang disunatkan pada usia lebih tua,” katanya. Bagaimanapun, katanya sudah wujud kecenderungan di kalangan ibu bapa di negara ini untuk menyunatkan kanak-kanak selepas dilahirkan.

Katanya, bersunat dilakukan kerana tiga faktor, iaitu pertama; alasan agama yang membabitkan penganut agama Islam dan Yahudi; kedua, kebersihan dan ketiga, alasan perubatan seperti jangkitan atau terbabit dalam kemalangan, termasuk kulit zakar tersepit pada zip seluar.

Berbanding kaedah tradisional yang proses penyembuhan mengambil masa agak lama, malah dalam sesetengah kes antara dua hingga tiga minggu, katanya bersunat secara moden mengambil masa antara lima hingga tujuh hari untuk sembuh.

Selain itu, katanya kaedah moden yang dilakukan di klinik dan dewan pembedahan hospital adalah lebih bersih, berbanding kaedah tradisional seperti di atas batang pisang. “Perbezaan utama kaedah tradisional dan moden ialah kanak-kanak yang disunat menggunakan kaedah moden tidak perlu mengalami proses menyakitkan untuk membuka balutan luka pada zakar seperti yang dialami dalam kaedah tradisional,” katanya.

Selain aspek perubatan, Dr Amin melihat perkembangan menarik dalam amalan bersunat di kalangan anak-anak golongan berada. Katanya, berbeza dengan generasi lalu yang tidak mempunyai pilihan apabila disuruh bersunat, anak-anak zaman sekarang bukan saja perlu dipujuk dengan baik untuk bersunat, malah membuat pelbagai permintaan. “Ada yang minta Play Station II yang harganya ribuan ringgit, malah ada yang meminta ibu bapa menaja lawatan ke luar negara selepas sembuh. Ini tidak mungkin berlaku pada zaman kita dulu yang menerima bersunat sebagai tidak ada pilihan, mesti kena punya.” katanya.

Sumber : http://www.ihsan.com/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan