Januari 21, 2009

Garis Panduan Menyedia Dan Memberi Makanan Pelengkap Kepada Bayi

Lilypie 1st Birthday Ticker

Ikuti garis panduan berikut apabila menyediakan dan memberi makanan pelengkap kepada bayi:

Perkenalkan makanan baru satu demi satu dan dalam kuantiti kecil (sebanyak satu atau dua sudu sahaja).

Jangan tambah garam, gula atau minyak kepada makanan.

Jangan paksa anak untuk menerima makanan yang baru; cuba memberinya sekali lagi kemudian.

Tunggu 3-5 hari sebelum cuba memperkenalkan satu lagi makanan yang baru. Ini boleh membantu anda mengenalpasti sebarang alahan yang mungkin timbul.

Sementara memperkenalkan jenis makanan yang baru, terus memberikan makanan-makanan yang telah diperkenalkan dahulu.

Dari umur 6-8 bulan, mula memberi kombinasi beberapa jenis makanan.

Secra beransur-ansur, tingkatkan jumlah makanan yang diberi apabila bayi lebih besar.

Jadikan daging, ayam-itik, ikan atau telur sebahagian daripada diet bayi setiap hari, atau sekerap mungkin.

Suap bayi dengan perlahan dan sabar; jangan memaksa bayi makan.

Beri makanan yang sesuai dengan umur bayi.
Jangan beri kacang atau bijian yang boleh menyebabkan bayi tercekik.
Berbual dan berpandangan dengan bayi semasa menyuapnya.
Terus memberi susu ibu dan campurkannya dengan makanan lain sekiranya sesuai.

Jika si manja anda dijaga oleh pembantu rumah, pengasuh, ibubapa atau mertua anda, mereka juga harus diberitahu tentang garis panduan ini.

MAKANAN PERTAMA
Bubur, bubur dan bubur! Adakah anda sudah penat memikirkan apa untuk disediakan bagi bayi? Gunakan senarai di bawah sebagai panduan:

Mencecah 6 bulan: Beri si manja rasa sedikit selepas susu ibu

- Bijirin sedia-makan yang telah diperkayakan dengan zat besi
- Bubur nasi, oat atau barli
- Buah-buahan lecek seperti pisang, betik, epal, pear (berikan satu demi satu)
- Jus buah (cair) yang sudah ditapis (pastikan anda memberi jus satu jenis buah sahaja setiap kali; jangan campur dengan jus buah lain)


6-8 bulan: Beri 2-3 kali sehari

- Bubur nasi dengan sayur lecek, tauhu, ikan bilis yang dikisar halus atau kuning telur yang telah dilecek
- Buah-buahan yang dilecek atau dicincang halus
- Sayur, seperti lobak, kacang pis, tomato dan sayuran berdaun hijau, yang lembut atau dilecek
- Hati, daging ayam atau ikan yang dicincang atau dilecek (berikan satu jenis makanan sahaja pada satu masa; jangan campur dengan jenis yang lain; dan jangan lupa berhati-hati dengan tulang ikan!)


8-12 bulan: Beri 3-4 kali sehari sebelum memberi susu ibu

- Buah-buahan lembut yang dipotong menjadi kepingan kecil
- Jus buah yang sudah ditapis
- Sayur yang dicincang, termasuk sayur berdaun hijau
- Bubur nasi dengan daging dan ikan yang dicincang lumat atau halus


12 bulan ke atas: Beri 1-2 kali, dengan snek berkhasiat

- Nasi dimasak hingga lembut atau dilecek; dan mi yg dipotong menjadi kepingan kecil (termasuk koay teow, mihun dan mi).
- Bijirin gandum dan roti lembut (pastikan bayi tiada alahan)
- Putih telur yang dimasak (pastikan bayi tiada alahan)
- Buah-buahan lembut yang dipotong menjadi kepingan kecil
- Jus buah yang sudah ditapis
- Sayur yang dicincang, termasuk sayur berdaun hijau


Apabila si manja sakit

- Beri susu ibu lebih kerap
- Beri makanan kegemaran bayi yang sedap dan dimasak lembut
- Galakkan bayi makan lebih banyak sehingga berat badannya kembali seperti biasa


BOLEHKAH SAYA MEMBERI MAKANAN KOMERSIL?


Jika anda bekerja, sibuk dengan tugas di rumah atau terpaksa pergi ke tempat jauh, makanan bayi komersil merupakan alternatif yang mudah.

Makanan komersil yang paling biasa ialah bijirin sedia-makan, seperti bijirin nasi, oat atau barli, serta bijirin semua-dalam-satu yang mengandungi sayur atau buah- buahan. Anda juga boleh membeli buah dan sayur-sayuran yang sedia dipuri, dan jus buah komersil.

Periksa label pada bungkusan untuk memastikan ia tidak mengandungi bahan tambahan, perisa danpewarna tiruan, atau garam dan gula tambahan. Apabila membeli jus buah, pilih jus 100% yang tidak dicampur gula.

Walaupun senang disediakan, makanan komersil kurang kepelbagaian dan tidak akan memperkenalkan si manja kepada rasa tempatan yang sedap. Teruskan memberi bayi makanan pelengkap yang dimasak sendiri, sekerap mungkin. Bukankah kata orang, masakan ibu terbaik sekali?

Sumber: http://www.mypositiveparenting.org/articles/bm/solid-food-bm.htm

Tiada ulasan:

Catat Ulasan