Oktober 30, 2008

DIY - 20 Barang Permainan Kanak-kanak Yang Tidak Perlu Anda Beli

Lilypie 1st Birthday Ticker

by Colleen Moulding

Bosan kerana terpaksa membayar harga yang tinggi bagi mendapatkan barang permainan plastik yang terkini? Balaslah soalan “Apa yang kami boleh lakukan sekarang Emak?” dengan membuat barang-barang permainan dari bahan-bahan yang sememangnya telah tersedia disekeliling rumah.

1. Kedai. Simpan kesemua kotak / bekas kosong dari perbelanjaan runcit anda selama seminggu atau lebih dan tidak lama kemudian anda akan mempunyai “sebuah kedai runcit” (olok-olok) yang boleh anda banggakan. Lekatkan semula penutup kotak-kotak bijiran, pembungkus jelly dsb. Kelihatan seperti tidak pernah dibuka. Pakaian, kasut, dan barang-barang mainan boleh dijadikan sebagai “stok”. Beg plastik dan wang betul mahupun wang mainan boleh ditambah untuk menjadikannya lebih menyeronokkan.

2. Bola-bola kertas. Apabila anak-anak mencadangkan untuk melontar “sesuatu” diantara satu sama lain! Bebola kertas adalah mudah diperonyokkan daripada helaian majalah yang dikoyak keluar bagi membuat “peluru”. Apabila tiba masa untuk mengemas, letakkan sebuah bakul sampah ditengah-tengah bilik dan lihat siapa yang mampu melontar masuk kedalamnya paling banyak. Majalah yang digulung boleh menjadi “kayu pemukul” yang baik juga.

3. Doktor/Jururawat. Segulung tisu tandas yang putih boleh membuatkan permainan ini lebih seronok apabila ayah, datuk dan nenek, anak patung di”mumia”kan dihadapan mata anda. Sudu ubat plastik dan katil-katil hospital yang dibuat dari kotak kadbod sebagai baran mainan merupakan prop tambahan bagi mempastikan permainan ini berlanjutan lebih lama lagi.

4. Tiub. Tiub kadbod dari gulungan foil atau tisu dapur boleh dijadikan sebagai teleskop segera bagi kegunaan kelasi atau lanun, atau sebagai terowong untuk dilalui oleh guli. Kanak-kanak kecil suka melihat benda-benda yang dihilangkan dan kemudiannya muncul semula dibawah. Walau bagaimanapun, jangan biarkan mereka bersendirian bersama-sama tiub kadbod tersebut kerana mereka mungkin akan memasukkannya kedalam mulut.

5. Kotak-kotak kadbod merupakan permainan percuma yang terbaik untuk anda. Masukkan hujung sebuah kotak kadbod kedalam sebuah kotak kadbod yang lebih besar sedikit untuk membuat terowong dan gua supaya kanak-kanak boleh merangkak melaluinya. Lukiskan bentuk tingkap dan pintu dengan menggunakan pen mata besar untuk membuat sebuah rumah, tambahkan bendera dan tingkap bulat kecil atau pinggan-pinggan kertas untuk sebuah bot dan stering untuk kereta.

6. Taman-taman mini. Bekas-bekas foil yang menempatkan pai atau makanan yang dibeli merupakan bekas-bekas yang cantik untuk mewujudkan taman-taman mini. Anak-anak boleh berseronok dengan berjalan-jalan disekitar taman permainan dan kebun untuk mencari ranting-ranting kayu untuk membuat pokok, lumut untuk membuat padang, batu yang disusun sebagai batu-batu ataupun air terjun. Lekatkan ranting-ranting dan batu-batu ditempat yang sepatutnya dengan menggunakan paku tekan biru kecil atau plastesin. Tambahkah orang atau binatang mainan dan mungkin sedikit air sekiranya bekas tersebut kedap air. Ia boleh menjadi suatu latihan yang kreatif dan menyeronokkan sekiranya anda mempunyai anak-anak yang terdiri dari kumpulan umur yang berbeza untuk dilayan. Untuk menambahkan variasi, anda boleh menggunakan pasir mainan (bukannya pasir sebenar – ia akan meninggalkan kesan kekuning-kuningan kelak) untuk membuat pemandangan sebuah pantai, mungkin boleh ditambah dengan kulit-kulit cengkerang, batu-batu dan laut yang dibuat dari kertas biru.

7. Boneka-boneka kertas. Tidak mengira apa-apa gambar – samada gambar burung yang berwarna-warni, muka pelawak, karektor binatang atau kartun, dipotong dengan cermat oleh orang dewasa dan dilekatkan keatas sekeping kad berjalur lebih kurang lima inci panjang dan satu setengah inci lebar akan menjadi boneka yang mudah dan ringkas. Ini boleh memberikan keseronokan dan sangat mudah untuk dibuat sehingga akhirnya anda mungkin telah berjaya membuatnya berdozen-dozen banyaknya. Gambar-gambar dari majalah boleh juga dilekatkan diatas kad yang berlipat untuk membuat latar belakang set teater dan kepak.

8. Pencetak ubi kentang. Selepas memotong ubi kentang kepada dua bahagian (separuh), lukislah suatu bentuk yang mudah. Mungkin bentuk tiga segi, bulatan mahupun bentuk bintang. Potong dan buangkan bahagian lain ubi kentang tersebut, meninggalkan satu bentuk yang boleh dicelup kedalam cat warna dan dicetak (dicop) keatas kertas.

9. Pemancang. Pemancang boleh digubah daripada botol plastik minuman ringan yang besar ataupun botol-botol air lemonade. Sedikit pasir atau air dibawahnya mampu menstabilkan kedudukannya. Suatu permainan yang bagus untuk belajar mengira.

10. Jerumun (‘Tempat persembunyian’). Membina jerumun sudah pastinya merupakan salah satu kenangan indah dialam kanak-kanak ketika kita teringat semula kepada keselesaan kain cadar diatas rak terbuka ditaman ataupun dibelakang kerusi-kerusi didalam rumah. Malah kanak-kanak sofistikated masa kini juga merasakan ia lebih menyeronokkan daripada terus membeli rumah mainan plastik dikedai. Saya rasa rahsianya ialah dengan hanya memberikan nasihat berkenaan struktur pembinaannya supaya ia dapat berdiri tegak, tetapi kemudiannya membiarkan anak-anak melakukan pembinaannya sendiri seberapa yang boleh. Kotak-kotak yang bersaiz sangat besar seperti kotak yang menempatkan mesin basuh dan peti sejuk boleh diperolehi dengan mendapatkannya daripada pembekal barang-barang elektrik dan ianya amat berguna sebagai “bilik” untuk jerumun kita. ‘Indoors’ merupakan salah satu jenis jerumun yang paling ringkas dimana ia boleh dibina dengan meletakkan kain cadar yang besar atau ‘duvet’ menutupi sebuah meja. Kusyen, lampu suluh, biskut dan buku-buku komik akan diperlukan semasa majlis meraikan ‘rumah’ tersebut.

11. Tali. Kanak-kanak mendapati beribu-ribu kegunaan tali, dari mengikat barang-barang mainan yang ‘jahat’ ke tali ampaian bagi menggantung pakaian anak patung. Ia boleh diikat ke kaki-kaki kerusi untuk melompat, dicelup kedalam cat dan diputar diatas kertas, dianyam, dipintal, dibuat menjadi payung terjun atau perhiasaan gantungan, digunakan sebagai alat pengukur atau untuk belajar bagaimana untuk mengikat tali kasut dan reben.

12. Kad yang dijahit. Lekatkan gambar diatas sekeping poskad atau lukiskan satu gambar itik, kereta atau bentuk beruang yang ringkas. Dengan menggunakan jarum besar, buatkan lubang-lubang kecil dari cucukkan jarum tersebut disekeliling rekabentuk anda dalam anggaran satu inci diantara satu lubang ke lubang yang lain. Gunakan tali benang yang berwarna cerah atau tali kasut yang panjang pada jarum tersebut dan jahitkan melalui lubang-lubang tersebut.

13. Jangkungan. Anda perlu melakukan sedikit kerja menggerudi untuknya. Ambil dua tin yang kuat, tin kopi atau tin cat yang telah dibersihkan adalah antara tin-tin yang sesuai, dan gerudi sebuah lubang bersaiz satu inci di bahagian atas penutup tin tersebut. Masukkan tali panjang melaluinya dan simpul dengan kemas. Periksa tali pemegangnya supaya ia berada dalam kepanjangan yang selesa bagi anak anda sebelum menyimpul hujung tali yang satu lagi. Ia merupakan suatu permainan yang popular, tetapi jangan tinggalkan anak-anak kecil bersendirian dengannya terutama sekali sekiranya berdekatan dengan tangga.

14. Café. Set minum petang kanak-kanak adalah diperlukan didalam permainan ini, tetapi set berpiknik atau barangan memasak microwave juga sudah memadai. Berikan kepada pelayan sebuah buku catatan kecil dan pensil untuk mengambil pesanan dan buatkan sebuah topi tinggi berwarna putih dari kertas yang dibuat silinder untuk tukang masak bagi mewujudkan suasana yang lebih realistik. Dudukkan anak patung dan patung beruang disekeliling termasuklah pakcik-pakcik dan makcik-makcik yang sudi menjadi pelanggan.

15. ’Playdough’ (doh mainan). Campurkan dua cawan tepung, secawan garam, secawan air, sesudu makan minyak masak dan beberapa titisan pewarna makanan bagi menghasilkan doh yang ringkas dan boleh disimpan selama tiga minggu sekiranya anda membalutnya dengan polistirena dan disimpan didalam peti ais. Apa yang anda hanya perlu lakukan ialah menguli campuran tadi sehingga sebati. Bahagi-bahagikan doh tersebut sebelum anda menambah pewarna untuk mendapatkan lebih dari satu warna doh.

16. Permainan ‘berhalangan’. Permainan ‘berhalangan’ boleh menukar hari hujan kepada hari yang menyeronokkan. Gunakan apa sahaja yang ada. Bangku untuk berjalan diatas kayu, kusyen sebagai batu loncatan melalui laut yang penuh dengan ikan jerung ganas, melalui terowong kotak kadbod, menaiki gunung kerusi atau melalui gua ‘duvet’. Semakin tinggi imaginasi anda, anak-anak anda akan semakin menyukainya.

17. Bot ringkas. Kitar semula bekas margerin anda yang telah kosong. Gunakannya sebagai bot untuk tub mandi atau kolam. Ia adalah sangat mudah hinggakan kanak-kanak kecil juga boleh membuatnya. Gunting keluar bentuk tiga segi layer daripada kertas putih atau berwarna. Buatkan lubang kecil pada bahagian atas dan bawah layar tersebut supaya anda boleh meletakkan sebatang kayu melaluinya sebagai tiang layar. Biarkan anak-anak anda.

18. Mantel. Jururawat, raja, permaisuri, Batman, Superman – semuanya memerlukan mantel atau sehelai kain yang tergantung dibelakang. Nasib baik ia mudah dibuat dengan mengikat sehelai riben pada sehelai kain yang sederhana panjangnya mengikut warna kegemaran anak anda berdasarkan karektor kegemarannya. Tetapi sentiasa perhatikan mereka kerana apa-apa sahaja yang terikat di leher biasanya adalah membahayakan.

19. Seni ‘daun’. Kumpul beberapa helai daun dan lukis disekelilingnya. Ia amat menyeronokkan bagi kanak-kanak kecil dan merupakan permainan pengenalan pokok bagi kanak-kanak yang lebih tua. Warnakan dengan terperinci menggunakan krayon atau perwarna. Daun-daun tersebut kemudiannya bolehlah dilekatkan keatas kertas stail kolaj ataupun mencelupkannya kedalam pewarna dan kemudian menekannya kemas-kemas keatas sekeping kertas bagi mendapatkan ‘cetakan’ daun yang menarik.

20. Membuat ‘puzzle’ (susun gambar). Lekatkan gambar kegemaran anda diatas sekeping kad dan biarkan ianya kering dengan meletakkan sebuah buku tebal diatasnya. Gunting kepada beberapa bahagian, bergantung kepada umur anak anda, untuk menghasilkan suatu permainan ‘puzzle’ yang segera dan peribadi.

Sumber: www.ezinearticles.com

Panduan Memilih Pusat Jagaan kanak-kanak

Lilypie 1st Birthday Ticker

by Association of Registered Childcare Providers Malaysia

Menghantar anak-anak ke pusat penjagaan kanak-kanak telah menjadi sesuatu yang penting bagi kebanyakan keluarga. Ia juga memerlukan perbelanjaan yang tinggi terutamanya kepada keluarga yang mempunyai ramai anak dan terpaksa menanggung kos-kos lain, lebih-lebih lagi jika ibu bapa pula tidak berkesempatan untuk membantu menjaga anak-anak kecil bagi pasangan yang bekerja.

Di negara ini, tidak ada subsidi dari kerajaan ke atas penjagaan anak. Oleh itu, anda haruslah mengeluarkan lebih perbelanjaan untuk mendapatkan pusat penjagaan anak yang baik, iaitu yang menitikberatkan perkembangan fizikal dan minda yang sihat.Pusat jagaan kanak-kanak dan ibu bapa adalah sahabat di dalam pembesaran dan perkembangan kanak-kanak.

Pusat jagaan kanak-kanak adalah sambungan daripada rumah di mana kanak-kanak berasa selamat, selesa dan dikasihi.Ia menyediakan pelbagai bentuk pembelajaran yang menarik dan merangsang pemikiran di dalam suasana ceria dan persekitaran yang luas dan cukup dengan peralatan yang sewajarnya.

Penglibatan ibu bapa adalah penting untuk memastikan perkembangan kanak-kanak secara menyeluruh. Sebelum memilih pusat penjagaan kanak-kanak yang baik, ibu bapa hendaklah mempertimbangkan beberapa isu seperti berikut:

Lokasi
  • Adakah pusat tersebut jauh dari rumah? Perjalanan yang jauh dari rumah ke pusat penjagaan adalah tidak baik bagi kanak-kanak kecil.
  • Adakah persekitarannya telah tercemar?
    Contohnya, adakah pusat penjagaan tersebut terletak berdekatan dengan kilang kayu?
  • Adakah ia bersebelahan dengan lebuhraya?
    Ini tidak selamat bagi kanak-kanak.

Bangunan

  • Adakah bangunannya menepati tuntutan keselamatan bagi kanak-kanak kecil?
  • Adakah bilik-biliknya mempunyai pengudaraan yang baik?
  • Adakah keadaan tanahnya selamat?
  • Dapatkah pekerja atau penyelia pusat penjagaan itu mengawasi kanak-kanak di taman permainan pada setiap masa?

Kemudahan-kemudahan

  • Adakah persekitarannya cerah dan ceria?
  • Adakah alat-alat permainan dan pembelajaran sesuai untuk peringkat umur yang berlainan dan adakah ia dijaga rapi dan selamat untuk digunakan oleh kanak-kanak?
  • Adakah kawasannya cukup luas bagi kanak-kanak ini bermain?
  • Adakah terdapat kawasan berpasir dan berair untuk mereka bermain?
  • Adakah tandasnya bersih dan kering?
  • Berapakah nisbah kanak-kanak bagi seorang penjaga?

Penjaga Kanak-kanak

  • Adakah pusat tersebut menyediakan penjaga yang berkelayakan dan berpengalaman bekerja dengan kanak-kanak kecil?
  • Adakah mereka terlatih dalam pertolongan cemas?
  • Semasa bercakap dengan kanak-kanak, adakah mereka tunduk supaya kedudukan fizikal mereka setara dengan kanak-kanak ini?
  • Adakah mereka terlibat secara langsung dalam pendidikan?
  • Adakah mereka kelihatan bertanggungjawab, pengasih dan boleh diharap?
  • Adakah penguasaan bahasa mereka baik untuk berkomunikasi dengan kanak-kanak?
  • Adakah mereka menggunakan kaedah tidak menghukum apabila mendisiplinkan kanak-kanak?
  • Adakah mereka mendapat latihan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat?

Program Perkembangan

  • Adakah program yang ditawarkan seimbang, iaitu yang menggalakkan ‘pembelajaran melalui permainan’ dan menggalakkan perkembangan menyeluruh kanak-kanak?
  • Adakah pihak pusat penjagaan itu percaya dengan cara pembelajaran yang mengutamakan kanak-kanak dan adakah mereka bekerja dengan kanak-kanak berdasarkan kepada keperluan dan keupayaan mereka?
  • Adakah bahan-bahan pembelajaran dan tempat bermain mencukupi?


Perhubungan di antara ibu bapa dan pusat penjagaan

  • Adakah ibu bapa sentiasa diberitahu mengenai aktiviti pusat penjagaan melalui surat berita atau papan buletin?
  • Adakah penjaga atau pengetua pusat penjagaan itu sentiasa bersedia untuk menjawab soalan-soalan anda?
  • Adakah mereka mengalu-alukan pendapat ibu bapa?
  • Adakah ibu bapa digalakkan terlibat dalam aktivi-aktivi pembelajaran dan acara-acara istimewa?
  • Adakah pusat penjagaan itu membuat menu harian/mingguan untuk kanak-kanak?
  • Adakah mereka menyimpan, menyediakan dan menghidangkan makanan dengan cara yang bersih?
  • Adakah mereka mengamalkan kebersihan diri dan membuang sampah dengan cara yang betul?
  • Adakah mereka menyimpan rekod perubatan semasa kanak-kanak?
  • Adakah latihan kebakaran kecemasan dijalankan dengan kerap?

PENTING!!

Adakah pusat tersebut berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat? Sijil pendaftaran ini hendaklah dipamerkan dengan jelas di pejabat dan papan notis.
Akhir Sekali

Masalah Tidur - Kemahiran Melatih Anak Tidur



SEORANG wanita berusia 30 tahun menimang cahaya mata pertama setahun lalu dan sering mengadu bayinya kerap terbangun pada waktu malam, walaupun diberi susu secukupnya.
Dia berasa tidak bermaya pada siang hari kerana tidak cukup tidur.

Namun begitu, dia terpaksa ke pejabat awal pagi dan pulang hampir lewat petang dan keadaan ini juga kadangkala menyebabkan dia berasa bersalah kerana tidak memberi masa secukupnya kepada bayinya.Ketika di pejabat, bayinya diserahkan kepada penjaga di sebuah taman asuhan kanak-kanak dan ini juga memberi tekanan kepadanya kerana beliau tidak mahu satu hari nanti anaknya akan menjadi lebih mesra dengan penjaganya daripada dirinya.

Wanita itu berpendapat dia hanya boleh berjinak-jinak dengan anaknya pada waktu malam saja dan dia akan cuba bermain-main dengan anaknya agak lama dan keadaan ini sesungguhnya membuat anaknya sukar memperoleh jangka masa tidur secukupnya dan secara tidak langsung bayinya mudah meragam sama ada pada waktu malam mahupun siang.

Kisah disebutkan ini mencerminkan gaya seorang ibu yang baru menimang anak dan belum mempunyai pengalaman menjaga anak dan memastikan anak itu membesar tanpa sebarang masalah.

Seorang bayi yang baru lahir memerlukan jangka masa tidur yang lama berbanding kanak-kanak yang semakin meningkat dewasa kerana proses pembesaran dan kematangan sistem yang terpenting dalam tubuh.Bayi itu sedang berjalan dengan pesat. Begitu juga dengan pemakanan bayi terbabit, dia juga perlu kepada susu secukupnya dan sebaik-baiknya susu ibu.

Sekiranya seorang bayi tidak mendapat jangka masa tidur secukupnya, dia mudah meragam, tidak kira pada siang atau malam. Situasi yang sama dapat dilihat jika seseorang bayi tidak mendapat pemakanan secukupnya, bukan saja dia mudah meragam malah proses pembesaran turut terbantut.Dalam kes ini ibu itu berasa bersalah kerana menganggap tidak memberi perhatian sewajarnya kepada anaknya kerana beban tugasnya.

Oleh itu, untuk menebus semula perasaan bersalah, dia berpendapat harus bermesra dengan bayinya selama mana yang boleh pada waktu malam.Sesungguhnya perbuatan ini walaupun nampaknya boleh diterima oleh ibu terbabit tetapi ia memudaratkan pertumbuhan bayi itu dari aspek fizikal dan mental.

Bayi berkenaan sepatutnya diberi kesempatan untuk tidur apabila berasa mengantuk dan suasana dalam bilik tidur bayi sepatutnya diubah suai untuk merangsang bayi tidur dengan selesa. Bagaimanapun, apabila ibu itu terus membuat rangsangan kepada bayinya untuk terus berjaga, bayi itu tidak dapat tidur mengikut proses normal dan kesannya adalah perubahan pada emosi dan tingkah laku bayi terbabit.

Dalam keadaan ini, bayi itu memerlukan tidur yang lebih pada siang hari, sama ada pagi ataupun petang. Ini bermaksud, jika bayi dapat jumlah jam untuk tidur dengan selesa, dia akan membesar dengan baik dan ini memberi kesan positif pada perkembangan emosi, intelek dan fizikal bayi berkenaan.

Oleh itu, salah satu punca bayi meragam adalah disebabkan dia tidak memperoleh jumlah jam yang bersesuaian untuk tidur.Kepada ibu yang mempunyai dilema seperti wanita disebutkan ini, mereka harus ingat bahawa tidak salah bekerja dan tidak salah menghantar bayi ke taman asuhan, asalkan mereka tahu bahawa bayi itu sentiasa diberi penjagaan sebaik mungkin dan sentiasa selamat.

Ada juga segelintir ibu ketika kecil dulu mengalami permasalahan berkaitan dengan penjagaan, contohnya apabila mereka masih bayi dan pada zaman kanak-kanak, ibu mereka mengabaikan kehendak dan keperluan mereka. Dalam keadaan ini, mereka sendiri tidak dapat masa sesuai untuk tidur dan keadaan ini mempengaruhi mereka apabila melihat bayi mereka sendiri. Ibu terbabit seolah-olah dapat berasakan pahit maung emosi yang sedang dialami kerana bayi mereka mengingatkan mereka kepada kenangan lama.

Dalam keadaan itu, ibu terbabit cuba berbuat sesuatu bagi menghindarkan bayi mereka daripada mengalami masalah sama. Bagaimanapun, pendekatan diamalkan bukan membantu bahkan menambah gangguan dialami.Begitu juga dengan tindak balas segolongan ibu yang gemar menghampiri bayi mereka setiap kali bayi itu menangis, terutama pada waktu malam.

Bukan saja ibu terbabit mendodoi bayi mereka, malah memberi susu lagi untuk menenangkan bayi itu.Ada kalanya bayi itu boleh dibiarkan saja untuk sementara waktu dan lazimnya dia akan tidur semula tanpa memerlukan apa-apa bantuan.

Bagaimanapun, ada ibu yang berasa bersalah jika mereka tidak membuat sesuatu.Sesungguhnya untuk mengajar bayi itu menikmati proses tidur yang nyenyak, ibu terbabit harus mahir melatih bayi mereka belajar tidur dengan sempurna. Pada mulanya memang nampak agak susah untuk seorang ibu buat tidak tahu saja apabila bayinya menangis tetapi lama-kelamaan bayi itu sudah boleh menyesuaikan diri dengan keadaan sekeliling.

Apabila seorang bayi sudah mengetahui cara sebenar untuk mendapat kepuasan sewaktu tidur, dia akan memberi manfaat terbaik kepada bayi itu yang mana pertumbuhan dan perkembangan bayi berkaitan mampu berjalan lancar tanpa sebarang permasalahan.

by www.bharian.com.my

Tekanan Punca Ibu Gagal Susukan Bayi

Lilypie 1st Birthday Ticker

by Berita Harian - Raihanah Abdullah

KITA sering dengar orang mengatakan susu ibu adalah susu terbaik untuk bayi. Namun, masih ramai juga ibu yang tidak berpeluang untuk menyusukan bayi mereka.Satu daripada faktor yang menyebabkan ibu menghadapi masalah atau gagal menyusukan bayi mereka ialah kurang yakin pada diri sendiri, tertekan, runsing, kurang mendapat maklumat mengenai penyusuan dan bimbang susu tidak mencukupi.Perunding Laktasi, Christine Choong, berkata ibu yang gagal menyusukan anak mereka, sekurang-kurangnya secara eksklusif selama enam bulan selalunya kurang yakin mereka mampu menyusukan bayi sepenuhnya.

Beliau berkata, ibu tidak sepatutnya berfikiran negatif apabila hendak menyusukan bayi kerana semakin kerap mereka menyusukan anak, semakin bertambah kandungan susu yang akan terhasil dan dikeluarkan.Katanya, kurang yakin pada diri sendiri sedikit sebanyak akan menyebabkan tekanan perasaan dan ini boleh mempengaruhi penghasilan susu.“Sebaik-baiknya cuba bertenang ketika menyusukan bayi anda dan cuba beri tumpuan penuh kepada bayi setiap kali menyusu. Yakinlah, semakin kerap anda menyusukan bayi, semakin banyak susu akan terhasil.“Ibu juga perlu sentiasa ingat, bukan lagi masanya bagi mereka untuk mendapat tidur nyenyak selama 10 jam kerana mereka sudah mempunyai tanggungjawab lain, iaitu menjaga dan menyusukan bayi,” katanya.

Beliau berkata, ibu juga perlu memikirkan mengenai bayi mereka dengan penuh perasaan kasih sayang dan sentiasa memastikan berkeadaan selesa dan tenteram.Katanya, sebelum menyusu, ibu digalakkan supaya memerah sedikit susu dan dengan lembut membuat rangsangan pada puting payu dara mereka untuk menggalakkan pengeluaran susu.Bagaimanapun, katanya, ibu dinasihatkan supaya tidak risau, berperasaan takut, bimbang atau malu selain berhenti merokok atau mengambil minuman keras.

Penghasilan susu ibu akan bertambah disebabkan penurunan hormon progesteron, lazimnya, 30 hingga 40 jam selepas kelahiran.Prolaktin dan oksitoksin (hormon menghasilkan susu) akan dihasilkan secara semula jadi selepas melahirkan bayi dan bertindak balas dengan hisapan puting oleh bayi.

Bahagian payu dara yang menghasilkan susu (lihat grafik).

  • Alveoli adalah bahagian yang menghasilkan susu.
  • Saluran susu dan sinus akan menyalurkan susu ke puting. Bayi perlu diletak dengan betul supaya dapat memberikan tekanan pada saluran susu untuk bayi menyusu dengan berkesan.
  • Areola, di mana terletaknya kelenjar Montgomery melindungi kulit puting. Bayi perlu memasukkan sebanyak mungkin bahagian bawah areola ke dalam mulutnya.
  • Puting dan liang puting yang menyalurkan susu kepada bayi.


Faedah susu ibu kepada bayi:

  • Mengandungi khasiat zat lengkap yang memenuhi keperluan bayi.
  • Mengandungi protein, lemak dan asid lemak Omega 3 yang mudah dihadamkan supaya kadar pertumbuhan fizikal dan perkembangan mental bayi sihat.
  • Membantu perkembangan otak dan sistem saraf dan meningkatkan tahap kecerdasan.
  • Melindungi bayi daripada jangkitan dan penyakit seperti gangguan usus, masalah pernafasan dan jangkitan telinga kerana susu ibu mengandungi sel hidup dan antibodi.
  • Mengurangkan risiko penyakit kencing manis dan kanser kanak-kanak.
  • Melindungi daripada alahan.
  • Mengurangkan risiko inflamasi kolon bayi pramatang.
  • Mengurangkan masalah gigi berlubang, penglihatan, pertuturan dan menguatkan pertumbuhan rahang.
  • Mengurangkan risiko penyakit jantung pada kemudian hari.
  • Mengurangkan risiko sindrom kematian bayi.
  • Menggalakkan hubungan silaturahim antara ibu dan anak.

Faedah menyusu kepada ibu:

  • Melindungi kanser payu dara dan kanser ovari.
  • Membantu mengurangkan berat badan dan mengempiskan perut kerana hormon oksitoksin membantu mengecutkan rahim.
  • Mempercepatkan pemulihan ibu selepas kelahiran bayi.
  • Menjimatkan masa dan wang kerana tidak perlu menyediakan barang keperluan untuk penyusuan.
  • Risiko pereputan tulang dan masalah jantung dapat dikurangkan.
  • Satu cara merancang keluarga dan menjarakkan kelahiran antara anak secara semula jadi.
  • Penyusuan ibu sepenuhnya dapat menjadikan ibu berasa puas hati kerana melaksanakan tanggungjawab seorang ibu dengan sempurna.